Biasanya orang yang melakukan dosa dan kesalahan takut dan malu apabila apa yang dilakukan diketahui orang. Tetapi jika dilihat hari ini semakin banyak budaya normalisasi dosa terjadi – dosa yang dilakukan bukan sahaja dianggap biasa malah dihebahkan kepada orang ramai.
Sebuah hadis daripada Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.anhu:
Maksudnya: “Setiap daripada umatku diampunkan melainkan golongan mujahirin. Antara perbuatan mujaharah ialah di mana seorang lelaki melakukan satu amalan pada waktu malam kemudian dia bangun pada waktu pagi dalam keadaan Allah telah menutup apa yang dilakukannya pada waktu malam.
Lalu dia berkata : Wahai fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan ini dan perbuatan itu. Sesungguhnya dia tidur dalam keadaan Allah menutup aib yang telah dia lakukan lalu dia bangun pagi dan mendedahkan apa yang Allah tutup darinya.” Riwayat al-Bukhari(6069)
Allah memberi ancaman yang berat kepada golongan Mujaahirin iaitu golongan yang menyebarkan aib sendiri dan menceritakan dosa yang telah dilakukan.
Pentafsir membahagikan golongan ini kepada dua jenis:
Pertama, orang yang memang melakukan perbuatan dosa dan maksiat secara terang-terangan di hadapan orang lain.
Kedua, orang yang melakukan perbuatan maksiat secara sembunyi-sembunyi kemudian Allah menutup aibnya itu sehingga tidak ada orang yang tahu. Tetapi dia kemudian menceritakan kepada orang lain apa yang telah dilakukannya.
Adakah Benar Tidak Boleh Menceritakan Langsung Kepada Orang
Para ulama mempunyai dua pandangan tentang perkara ini:
1.Tidak Boleh Diceritakan
Seseorang tidak boleh menceritakan dosa dan kesalahan yang telah dilakukan kepada orang lain jika untuk tujuan berbangga dan memperkecil-kecilkan dosa. Kebiasaannya, orang yang suka menceritakan aib diri sudah hilang rasa malu dan bersalah atas dosa yang dilakukan.
Namun ada pula yang berpendapat dengan menceritakan dosa yang dilakukan kepada orang lain – mereka sebenarnya jujur dan tidak hipokrit dengan diri sendiri. Hal ini sungguh salah sama sekali. Pada siapa kita ingin buktikan kejujuran sebenarnya? Pada orang atau Allah? Jika pada Allah, maka Allah sudah memberitahu bahawa usah diberitahu keaiban yang sudah ditutupNya.
Dan tanyakan pada diri sendiri apa niat hati kita – adakah untuk dikagumi orang kerana dilihat sebagai seorang yang ‘berani’ dalam melakukan kebaikan dan kesalahan? Atau itu hanyalah cara untuk meredakan rasa bersalah di hati sendiri lalu kita meletakkan makna keberanian sesuka hati.
Simpan dan sembunyikanlah ia kerana Allah juga telah membantu menutupnya. Biarlah ia menjadi rahsia antara kita dan Allah sahaja dan tutuplah ia dengan taubat yang sebenar-benarnya.
2.Boleh Diceritakan Jika Perlukan Bimbingan
Sebaliknya jika ia bertujuan untuk meminta pandangan, nasihat atau bimbingan, maka Imam Nawawi mengatakan harus menceritakan. Ia juga sepatutnya dilakukan secara berpada-pada sahaja sekadar untuk memahamkan orang yang dirujuk, dan tidak perlu diceritakan secara terperinci.
Lakukan Taubat Yang Bersungguh-sungguh
Apa yang boleh dilakukan seterusnya adalah bertaubat. Taubat yang jujur adalah taubat yang bersungguh-sungguh. Terasa kekesalan di hatinya lalu dia meminta ampun kepada Allah dalam keadaan malu dan mengharap keampunan.
Ia tidak terhenti di situ sahaja malah akan terzahir pada perbuatan selepas itu – dia akan berubah, memperbaiki amalan dan tidak akan melakukan dosa itu lagi.
Allah berfirman, “Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah Ali Imran 3:89)
Malah Sheikh Al-Maraghi mentafsirkan ayat di atas dengan berkata bahawa taubat yang tidak mendatangkan kesan pada amalan, tidak dipandang sebagai taubat dari sudut agama.
Betapa golongan ulama memandang tinggi akan perbuatan taubat. Tidak cukup sekadar merasai penyesalan sahaja tetapi seseorang mestilah berupaya mengubah keburukan yang ada pada dirinya.
Sebagai manusia, kita memang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa, namun usah sampai menjadikan ia suatu yang normal, lebih teruk lagi menghebahkan pula dosa yang dilakukan kepada orang ramai.
Semoga kita dikurniakan tekad, kekuatan dan kesungguhan untuk mengubah diri sendiri. InsyaAllah.
Sumber: TZKRH.COM