Dua Maut, Dua Terselamat Nahas di LPT

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Dua maut manakala dua lagi cedera selepas pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas di Kilometer 192.6, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Abd Talib Akob, 73, dan isteri, Fuziah Mohd Marzuki, 62, masing-masing dari Taman Muhibbah, Jerantut, meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua yang selamat dan mengalami kecederaan ialah Muhamad Taufik Abd Talib, 34, dan Noor Syafiyana Ahmad Sobri, 32.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata seramai 13 pegawai dan anggota dari Bomba dan Penyelamat Taman Tas, di sini bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 5.29 petang.

Katanya, berdasarkan laporan, kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam tiga meter.

“Kemalangan itu menyebabkan dua penumpang meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mayat yang berjaya dikeluarkan itu diserahkan kepada polis manakala dua lagi menerima rawatan.

Sumber: BERITA HARIAN