GUA MUSANG – Jalan Gua Musang-Kuala Krai telah mengalami laluan sesak teruk lebih lima jam selepas treler membawa muatan kayu balak terbalik dalam kemalangan di Kilometer 65, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, menyebabkan pemandu treler cedera ringan dan laluan di kedua-dua arah ditutup akibat treler tersebut melintang di tengah jalan selain kayu balak jatuh bergelimpangan.
Menurut ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, kemalangan tersebut telah melibatkan lima buah kenderaan iaitu sebuah treler dan empat kereta.
“Siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Wira dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang terbabas ke kanan sebelum melanggar treler muatan kayu balak yang berada di laluan bertentangan.”
“Pada masa sama, dua buah kenderaan iaitu Perodua Alza dan sebuah Proton Exora tidak sempat mengelak dan terlanggar kayu balak yang jatuh di jalan kejadian itu.”
“Susulan kejadian itu, berlaku kesesakan teruk di kedua-dua arah sehingga lima kilometer berikutan kayu balak yang menghalang laluan,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan.
Sumber: HARIAN METRO