Pasti anda pernah mendengar kisah-kisah insan terawal yang memeluk Islam, antaranya ialah mereka yang dekat dan rapat dengan Baginda SAW sendiri.
Siti Khadijah yang merupakan isteri Baginda dan Ali bin Abi Talib, iaitu sepupu Baginda merupakan antara yang pertama memeluk Islam. Kita mengetahui asbab di sebalik kejadian ini kerana Islam pada awalnya disebarkan secara sembunyi-sembunyi dan Baginda memulakannya ke atas ahli keluarga.
Namun, jika kita menggali dengan lebih dalam sedikit berkenaan nama-nama manusia terawal yang memeluk Islam, pasti kita akan mendengar nama Abdullah Ibnu Makhtum.
Beliau juga tergolong dalam kalangan manusia yang terawal memeluk Islam dan diceritakan bahawa nasabnya ada kaitan dengan isteri Baginda, iaitu sepupu kepada Saidatina Khadijah RA.
Ada beberapa riwayat yang mengatakan bahawa nama sebenar beliau ialah Abdullah ibnu Umar ibnu Syuraikh. Bapanya ialah Qais bin Zaid dan ibunya pula bernama ‘Atikah binti Abdullah.
Ibunya digelar sebagai Ummi Makhtum kerana anak yang dilahirkannya cacat penglihatan sejak dari lahir lagi.
Walaupun anggota badan beliau tidak sempurna dengan gelapnya penglihatan, namun hatinya sentiasa terang dengan syiar Islam dan tidak gentar memilih untuk mengikut ajaran ini.
Beliau merupakan antara umat Islam yang setia untuk bersama menghadapi kesusahan dan kesenangan sejak dari mula-mula berlaku penyebaran Islam sehinggalah mereka berhijrah ke Madinah untuk meluaskan dakwah dan syiar Islam.
Diceritakan sewaktu umat Islam memutuskan untuk berhijrah ke Madinah, Abdullah ibn Makhtum ialah antara sahabat yang bertegas untuk mengikutinya.
Umum mengetahui, perjalanan dari kota Mekah ke kota Yathrib (Madinah) ketika itu sangatlah jauh ditambah pula dengan jalan yang berdebu dan cuaca yang tidak menentu.
Pasti mereka merisaukan keadaan keselamatan sahabat dan umat Islam antara satu sama lain. Namun, disebabkan oleh Abdullah yang betul-betul ingin mengikut perjalanan hijrah tersebut, akhirnya beliau berjaya mengharunginya dengan baik.
Mafhum: “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” (Surah Al-Haj, 22:46)
Merupakan Salah Satu Muazin
Jika kita sering mendengar kisah Bilal yang merupakan muazin setiap kali masuknya waktu solat, kali ini kita dapat mengenali seorang lagi muazin yang sering bergilir dengan Bilal untuk melaungkan azan.
Terdapat beberapa riwayat yang mengatakan bahawa, walaupun beliau seorang yang buta, namun beliau seorang yang berdisiplin mengenai masa, sama seperti Bilal bin Rabah yang tidak pernah terlambat untuk melaungkan azan.
Suara beliau yang lantang dan jelas untuk melaungkan azan akan membuatkan umat Islam yang mendengarnya peka akan masuknya waktu solat.
Mafhum: “Sesungguhnya Bilal azan pada waktu (sepertiga) malam. Kerana itu, Rasulullah SAW bersabda; “Makan dan minumlah sampai Ibn Makhtum azan. Kerana ia tidak akan azan kecuali setelah terbitnya fajar sadiq (masuk waktu Subuh).” (Hadis Riwayat Aisyah, no 1372)
Bukan itu sahaja, kisah beliau juga ada dirakamkan di dalam Al-Quran berkenaan suruhan Allah terhadap Rasulullah SAW untuk tidak mengabaikan persoalan yang diajukan oleh beliau.
Sebanyak 16 ayat dari Surah Abasa yang menceritakan mengenai bagaimana Baginda SAW memasamkan muka dan meneruskan dakwahnya kepada kaum pembesar Quraisy.
Hal ini menyebabkan Allah menegur Baginda dengan mengatakan bahawa:
Mafhum: “Adapun orang yang segera datang kepadamu, dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah), maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi)” (Surah Abasa, 80:8-11)
Si Buta Yang Pertama Ikut Berperang
Walaupun Ibnu Makhtum ini cacat penglihatan, namun ia tidak menghalang niat beliau untuk turut serta dalam perjuangan Islam dan tidak menjadikannya alasan untuk tidak berjuang seperti para sahabat yang lain.
Beliau diceritakan seorang yang sangat berani sehingga sanggup menawarkan diri untuk mengikuti setiap perang yang terjadi.
Berdasarkan penceritaan dalam kitab At-Tobari, 3/487, telah terjadinya Perang Al-Qadisiyyah, iaitu yang berlaku antara umat Islam dan juga tentera Parsi.
Ia diketuai oleh Umar Al-Khattab dan juga Sa’ad bin Abi Waqas manakala dari pihak musuh pula dipimpin oleh Rustum bin Farrukhzad al-Armani.
Perang ini dikatakan telah berlaku pada tahun ke 14 hijrah dan disertai oleh umat Islam yang berjumlah antara 30,000 sehingga 36,000 orang dengan melawan sebanyak 80,000 tentera musuh. Ada riwayat lain juga yang mengatakan bahawa tentera musuh disertai sebanyak 33 ekor gajah.
Abdullah ibn Makhtum dikatakan menyertai perang ini dan ditugaskan memegang panji Islam. beliau turut dipakaikan baju besi sebagai simbolik kepada perang.
Perang ini dikatakan telah berlangsung selama tiga hari yang akhirnya telah membawa kepada salah satu kejayaan terbesar umat Islam. Ada juga riwayat yang mengatakan ia berlangsung selama empat hari.
Melalui Kitab al-Kamil fi at-Tarikh (2/306-316) mengatakan bahawa, pada hari terakhir peperangan tersebut, umat Islam telah dibantu oleh tentera Syria yang baru sahaja selesai menghadapi Perang Yarmuk.
Kemenangan akhirnya berpihak kepada umat Islam. Walau bagaimanapun, peperangan selama tiga hari ini mengorbankan banyak nyawa, termasuklah Abdullah Ibn Makhtum.
Contohi Keberanian Ibn Makthum
Apabila dilihat dari sudut Abdullah yang sebenarnya beberapa kali boleh diberikan pengecualian di atas keadaannya, namun beliau tetap juga dengan perasaan kental dan beraninya untuk menjadi sebahagian dari umat yang menyebarkan Islam.
Jika dibandingkan dengan keadaan kita yang cukup sifat atau hampir sempurna dari segi akal, masih mampu untuk memberikan seribu satu alasan untuk mengelak daripada membantu menegakkan Islam dan menjaga kesucian Islam.
Jadi, belajarlah dari sekecil-kecil perkara agar kita mampu menjadi sebahagian dari mereka yang akan mati bersama Islam jua.
Sumber: TZKRH.COM