Ketua keluarga mempunyai tanggungjawab yang sangat besar untuk menunaikan nafkah terhadap ahli keluarganya. Nafkah adalah belanja atau sara hidup yang wajib ditunaikan ke atas seseorang yang di bawah tanggungannya sama ada isteri dan anaknya.
Seperti yang diketahui, nafkah itu adalah yang berbentuk keperluan seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan berdasarkan kemampuan dirinya.
Mafhum: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu).” (Surah At-Talaq, 65:7)
Namun, dalam menunaikan nafkah, kadang-kadang suami terlepas pandang atau tidak mampu yang akan menyebabkan isteri cenderung untuk menggunakan cara lain bagi memenuhi keperluan rumah tangga.
Sebagai contoh, isteri cenderung untuk berhutang bagi memenuhi keperluan anak-anak. Jadi, adakah hutang itu ditanggung oleh suami?
Dalam hal ini, ulama berpendapat bahawa jika hutang tersebut adalah yang berbentuk keperluan terhadap rumah tangga, maka ia adalah menjadi kewajipan ketua keluarga kerana nafkah itu pada asalnya adalah tugas yang perlu dipenuhi oleh suami.
Mafhum: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” (Surah Al-Baqarah, 2:233)
Justeru, hutang itu adalah termasuk dalam kewajipan suami untuk menyelesaikannya. Jika isteri memilih untuk menanggung hutang tersebut disebabkan keadaan keluarga atau suami yang tidak mengizinkan, maka ia adalah tidak mengapa. Hal ini adalah bergantung kepada pasangan tersebut.
Walau bagaimanapun, jika hutang itu adalah bukan yang berbentuk keperluan dan tidak termasuk dalam nafkah, maka, itu menjadi tugas isteri sendiri untuk melangsaikannya. Perihal hutang dan nafkah adalah dua perkara yang tidak boleh diambil ringan kerana ia melibatkan hak dan tanggungjawab ke atas orang lain.
Oleh itu, suami mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan keperluan keluarga tidak terabai.
Sumber: TZKRH.COM