KUALA LUMPUR – Pelumba bintang muda berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mencipta detik sejarah negara apabila memenangi pingat emas acara 500 meter ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi, hari ini.
Pelumba berusia 19 tahun itu mencatat nama sebagai pelumba wanita Malaysia pertama memenangi emas di kejohanan itu apabila melakarkan catatan masa 35.499 saat (s) di Velodrom Kompleks Indira Gandhi, New Delhi.
Pencabar terdekat Kim Bomi dari Korea Selatan berada di kedudukan kedua dengan catatan masa 36.374s manakala wakil tuan rumah, Mayuri Dhanaraj di tempat ketiga dengan masa 36.481s, menurut laman rasmi kejohanan www.atcc2022.com.
Sementara itru, pelumba Olimpik, Muhammad Shah Firdaus Shahrom meraih pingat perak dalam acara akhir keirin lelaki selepas tumpas kepada pelumba Jepun, Kohei Teraski manakala pingat gangsa menjadi milik pelumba Kazakhstan, Sergey Ponomaryov.
Seorang lagi pelumba keirin negara, Fadhli Zonis hanya mampu mengakhiri saingan di tempat ketujuh.
Sumber: BERNAMA