KUALA NERUS – Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain menuntut pemainnya supaya meneruskan momentum kemenangan pada perlawanan menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam esok.
Menurut Nafuzi pemain perlu mengekalkan aksi baik yang dipamerkan ketika menentang pasukan KL City FC Sabtu lalu bagi memastikan skuad Penyu membawa pulang tiga mata berharga dari tempat lawan.
“Kita memulakan aksi Liga Super menentang KL City FC dengan kemenangan meskipun berehat lama hampir dua bulan.
“Saya harap pemain dapat terus mempamerkan semangat tinggi dalam perlawanan menentang skuad Harimau Kumbang bagi mengukuhkan lagi kedudukan di persada liga,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Gong Badak.
Pasukan TFC ketika ini menghuni tangga ketujuh Liga Super di belakang skuad The Red Giant selepas mengumpul sembilan mata daripada lima perlawanan.
Ditanya mengenai cabaran berdepan Penang FC, jurulatih kelahiran Kelantan itu turut mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang remeh kemampuan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan biarpun pasukan tersebut berada di kedudukan tercorot liga.
Dalam pada itu, Nafuzi berkata beliau belum memutuskan senarai kesebelasan utama termasuk pemain import yang akan diturunkan pada malam esok.
“Kita lihat prestasi pemain pada sesi latihan terakhir hari ini. Bagaimanapun saya fikir tidak ada masalah kerana semua pemain sedang berada pada tahap moral terbaik.
“Apa yang lebih penting ialah pemain perlu ikut perancangan ditetapkan dan penyerang perlu bijak menghidu peluang untuk menjaringkan seberapa banyak gol,” katanya.
Sumber: BERNAMA