TFC Lepaskan Nik Akif

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

 

KUALA TERENGGANU – Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd merestui pemergian arkiteknya, Nik Akif Syahiran Nik Mat ke pangkuan negeri kelahirannya bagi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Tonggak tengah skuad kebangsaan bawah 23 Tahun (B-23) itu bakal menyarung jersi pasukan Kelantan United FC (KUFC) selepas rundingan saat akhir antara kedua-dua belah pihak berakhir dengan keputusan positif.

Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, mengikut perancangan terakhir, pemain berusia 23 tahun itu yang didaftarkan bersama pasukan Terengganu FC (TFC) bakal memperkuatkan pasukan ‘adik’ Terengganu FC II (TFC II) bagi baki saingan Liga Perdana.

“Bagaimanapun rundingan pada saat akhir dengan pengurusan KUFC itu sebelum jendela kedua perpindahan pemain ditutup pada 24 Jun menghadirkan keputusan positif dan kita dengan hati terbuka melepaskan pemain itu.

“Tapi kita lepaskan Nik Akif secara pinjaman kepada kelab berkenaan sehingga berakhirnya kancah Liga M pada November 2022, selepas itu pemain ini akan kembali semula bersama pasukan TFC.

“Kita harapkan Nik Akif gembira bersama KUFC selain mengharapkan pemain itu dapat membantu skuad berkenaan dalam kempen Liga Perdana dan Piala Malaysia musim ini,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu pemain kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu yang pernah membuat penampilan bersama skuad senior kebangsaan sebanyak empat pada 2018 ketika berusia 18 tahun menjadi rebutan tiga kelab iaitu Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC dan Penang FC ketika jendela perpindahan pemain dibuka pada 28 Mei lalu.

Bagaimanapun difahamkan tiada persetujuan antara TFC Sdn Bhd dengan kelab-kelab berkenaan menyebabkan proses perpindahan pemain itu tergantung.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sabri turut mengesahkan penyerang TFC, Muhammad Arif Mohamed Anwar tidak jadi berhijrah bersama pasukan PDRM FC bagi baki saingan Liga M musim ini.

Sumber: BERITA HARIAN