MARANG – Lapan unit tukun tiruan konservasi jenis ‘kuboid juvenil’ bernilai RM270,000 telah selamat dilabuhkan di perairan Taman Laut Pulau Kapas, Marang hari ini.
Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Ahmad Samsuri, berkata Program Pembangunan Tukun Tiruan yang dilaksanakan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan itu bertujuan untuk pemuliharaan dan pembiakan sumber bukan untuk tangkapan.
Katanya, tukun tiruan tersebut yang dilabuhkan sekitar jarak 3 hingga 5 batu nautika dari pantai telah dilengkapi dengan ciri-ciri khas yang direka bagi menghalang pencerobohan vesel haram pukat tunda di kawasan berkenaan.
“Kajian yang telah dijalankan oleh Institut Marin Asia Tenggara (ISMAT) Terengganu dan Institut Kajian Dasar Pertanian & Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mendapati lokasi tukun yang dilabuhkan menunjukkan impak positif kepada sosio-ekonomi nelayan. Sekitar 80% komuniti nelayan bersetuju bahawa hasil ikan semakin meningkat selepas tukun ditempatkan di laut.” katanya.
Beliau berkata, program ini dijangka akan disusuli dengan 18 unit tukun penghalang pukat tunda pada September ini di perairan Dungun dan Kemaman menggunakan peruntukkan daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM500,000.
“Manfaat yang didapati bagi program-program ini adalah semestinya untuk rakyat negeri Terengganu khususnya buat 8,635 orang nelayan di negeri Terengganu” katanya.
Sumber: UNIT BERITA MANIS FM