Setiap orang daripada kita pasti pernah mengalami mimpi dalam tidurnya. Tidak kira sama ada mimpi tersebut dalam keadaan baik atau sebaliknya.
Pernahkah rakan atau sesiapa sahaja di sekeliling anda menceritakan pengalaman mimpinya? Ada yang bermimpi hal-hal yang disukai, menyeramkan, menakutkan bahkan ada yang bermimpi luar dari alam dunia ini.
Sebelum itu, tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan ‘mimpi’? Secara ringkasnya, mimpi adalah suatu pengalaman bawah sedar yang melibatkan penglihatan, pendengaran, fikiran, perasaa atau pancaindera yang lain dalam tidur. Dan, mimpi itu biasanya menggambarkan suasana, aktiviti atau sebarang kejadian yang berlaku saat kita tidur.
Orang kata, mimpi ini hanyalah mainan tidur atau disebabkan kita terlampau memikirkan sesuatu, lalu terbawa-bawa ke dalam mimpi. Bolehkah kita percaya pada mimpi? Benarkah mimpi boleh mengubah hidup seseorang? Dan lain-lain lagi pertanyaan yang bermain dalam fikiran mengenainya.
Berikut merupakan beberapa persoalan mengenai mimpi menurut Islam;
1.Apakah Jenis-jenis Mimpi?
Terdapat 3 jenis mimpi iaitu;
Pertama, mimpi yang baik, menyenangkan yang didatangkan oleh Allah swt sebagai petanda untuk perkara akan datang atau yang telah berlalu.
Kedua, mimpi yang dipengaruhi oleh fikiran seseorang sama ada berbentuk khayalan atau angan-angan sebelumnya sehingga terbawa-bawa di dalam tidur.
Ketiga, mimpi buruk atau gambaran yang dimasukkan oleh syaitan ke dalam tidurnya, bertujuan untuk menakutkan atau menyedihkan seseorang.
Seperti sabda Nabi saw;
“Mimpi itu ada tiga, iaitu mimpi yang baik atau khabar gembira dari Allah azza wa jalla, mimpi dari fikiran seseorang sebelum tidur dan mimpi yang berasal dari gangguan syaitan.”
Hadis Riwayat Ahmad.
2.Apakah Beza Antara Mimpi Yang Benar Dan Mimpi Yang Biasa?
Mimpi yang benar berasal dari Allah swt, manakala mimpi biasa terutamanya mimpi buruk berasal dari gangguan syaitan.
3.Bilakah Waktu Yang Paling Tepat Mimpinya?
Terdapat dua waktu yang paling tepat dan benar mimpinya iaitu, pertama waktu malam (sahur) ini kerana waktu tersebut datangnya rahmat dan keampunan dari Allah, dan diamnya syaitan.
Kedua, waktu siang ketika qailullah iaitu waktu yang disunatkan tidur sebelum masuknya waktu Zohor.
4.Siapakah Yang Paling Benar Mimpinya?
Adapun untuk mengetahui siapakah yang paling benar mimpinya, ia bergantung kepada akidah, keimanan, akhlak, keadaan dan sifat seseorang. Namun begitu, para anbiya’ (nabi) kebanyakannya semua mimpinya benar, manakala orang soleh pula selalunya benar. Selain dua golongan ini adakalanya mimpi tersebut benar dan sebaliknya.
5.Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Anda Mendapat Mimpi Yang Baik?
Sekiranya anda mendapat atau mengalami mimpi yang baik dalam tidur, pertama hendaklah mengucapkan ‘Alhamdulillah’ dan memuji-muji Allah swt. Kemudian, khabarkan hal tersebut kepada mereka yang dipercayai dan mempunyai ilmu pengetahuan mengenainya.
Nabi saw ada bersabda;
“Apabila seseorang dari kamu melihat suatu mimpi yang menyenangkan, maka sesungguhnya mimpi itu hanyalah dari Allah swt, maka hendaklah dia memuji Allah swt atas mimpinya dan memberitahukannya.”
Hadis riwayat Bukhari.
6.Apakah Yang Perlu Dilakukan Jika Mendapat Mimpi Yang Buruk?
Sekiranya mendapat mimpi buruk, disunatkan untuk meludah ke kiri sebanyak 3 kali, memohon perlindungan dari Allah swt dengan mengucapkan ‘Auzubillahi minassyaitanirrojim’ sebanyak 3 kali agar terhindar dari sebarang kejahatan melalui mimpi itu serta mengubah posisi tidur mengikut sunnah Nabi saw (mengiring sebelah kanan).
Kemudian, bangun dan mendirikan solat serta tidak menceritakan mimpinya itu kepada sesiapapun, kerana bimbang akan disalah tafsir. Hal ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah saw;
“Apabila salah seorang di antara kamu bermimpi dengan sesuatu yang tidak disukainya, maka hendaklah ia meludah ke sebelah kirinya tiga kali, dan hendaklah ia berlindung diri kepada Allah swt dari gangguan syaitan (membaca ta’awwuz tiga kali), dan hendaknya pula ia membalikkan diri dari tidurnya yang semula.”
Hadis riwayat Muslim.
7.Adakah Terdapat Sumber Daripada Al-Quran Mengenai Mimpi?
Ya. Terdapat beberapa ayat al-Quran yang menyebut mengenai mimpi. Sebagai contoh, mimpi Nabi Ibrahim menyembelih anaknya, Ismail.
Umum mengetahui, mimpi para Nabi adalah benar dan menjadi petunjuk kepada mereka. Melalui peristiwa tersebut, umat Islam disyariatkan untuk menjalankan ibadah korban (bagi yang mampu) pada Hari Raya Aidiladha.
Seperti firman Allah swt yang bermaksud;
“Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata; ‘Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu.’ Ia (Ismail) menjawab; ‘Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; InsyaAllah engkau akan mendapati diriku termasuk orang-orang yang sabar’.”
Surah As-Saffat (37): 103.
8.Bolehkah Kita Mentafsir Mimpi Dan Mempercayainya?
Tidak dinafikan, apabila seseorang itu mengalami mimpi sama ada baik atau buruk, pasti perasaan ingin tahu membuak-buak dari dalam dirinya untuk mengetahui perkara sebenar yang terjadi.
Dalam situasi ini, kita perlulah sentiasa berwaspada agar tidak berlaku syirik kepada Allah swt dengan mendatangi dukun, tok bomoh, atau sesiapa sahaja yang tidak memiliki ilmu mendalam mengenainya. Cukup sekadar kita mengetahui, mimpi baik itu datangnya dari Allah dan mimpi buruk itu dari gangguan syaitan laknatullah.
Semoga perkongsian mengenai mimpi menurut Islam yang rata-rata dialami oleh kebanyakan orang ini dapat menjawab beberapa persoalan yang bermain di fikiran.
Usah terlalu taksub dengan mimpi yang dialami sehingga mengabaikan kewajipan seharian. Berdoa dan berserahlah kepada Allah swt atas segala urusan kehidupan ini. Hanya kepadaNyalah tempat pergantungan kita.
Sumber: TZKRH.COM