KOTA BHARU – Sebanyak 70 peratus kes kendalian mahkamah di Kelantan membabitkan jenayah berkaitan dadah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pertikaian pengurusan tanah pula adalah kes kedua tertinggi yang dibicarakan di negeri itu.
Bagaimanapun, katanya, beberapa negeri lain turut berkeadaan sama bagi jenayah narkotik.
“Di Kelantan jika membabitkan kes sivil, banyak kes dilaporkan berkaitan pengurusan tanah, namun jika kes jenayah, 70 peratus adalah berkaitan dadah.”
“Kes dadah ini adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya pelbagai pihak termasuk orang ramai perlu memainkan peranan dalam menanganinya.”
“Tahap kesedaran melalui pendidikan berkaitan kes jenayah dadah ini perlu dipertingkatkan kepada semua golongan termasuk pelajar sekolah sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya.
Mas Ermieyati berkata, isu itu sudah dibincangkan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.
“Kempen kesedaran dadah ini perlu dijalankan secara berterusan di semua peringkat, bukan hanya program bermusim. Cabaran mendepani jenayah dadah adalah sangat besar dan disebabkan itu semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya insiden pergaduhan yang berlaku di Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini, Mas Ermieyati berkata, beliau memandang serius perkara berkenaan dan kawalan keselamatan di semua mahkamah di Malaysia perlu dipertingkatkan.
Sumber: HARIAN METRO