KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada kerajaan Kedah sebagai tanda keprihatinan terhadap kejadian banjir yang melanda beberapa kampung di daerah Baling pada Isnin lepas.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri mokhtar berkata, peruntukan tersebut menjadi bukti solidariti Negeri Terengganu bersama Kedah menghadapi bencana.
“Kerajaan Negeri Terengganu turut berdukacita dengan situasi banjir yang berlaku di Baling, Kedah yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa beberapa hari lepas.
“Takziah saya ucapkan kepada ahli keluarga mangsa, semoga mereka yang telah pergi menghadap Ilahi ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan negeri dalam menghulurkan bantuan melalui sukarelawan bagi proses pembersihan.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan menghantar skuad sukarelawan untuk bantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir di sana.
Beliau juga mengajak orang ramai berdoa agar urusan mangsa-mangsa banjir dipermudahkan dan mereka diberikan ketabahan menghadapi dugaan berkenaan.
Bencana banjir dan kepala air itu menjejaskan 12 kampung di sekitar daerah Baling, Kedah membabitkan Kampung Iboi, Kampung Lata Celak, Kampung Padang Empang, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Bendang Padang, Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Bukit Tinggi, Klinik Kampung Pisang dan Kampung Sadik.
Tiga sekeluarga berusia antara 14 hingga 53 tahun, termasuk seorang wanita hamil, ditemukan maut selepas dihanyutkan arus banjir di Kampung Iboi.
Sumber: UNIT BERITA MANIS FM / Foto: BERNAMA