KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memperhebatkan lagi langkahnya bagi melahirkan lebih ramai generasi baharu yang seterusnya memangkin industri perfileman negara dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama Yayasan Sabha dengan menubuhkan Akademi FINAS di Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, berkata ia adalah perancangan jangka panjang dan pertemuan dengan Yayasan Sabah satu langkah positif dalam memacu industri perfileman negara.
Tambahnya lagi, melalui kerjasama tersebut, FINAS akan menggunakan kemudahan premis, tenaga kerja pentadbiran dan peralatan yang dimiliki University College Sabah Foundation (UCSF) di bawah kendalian Yayasan Sabah dalam melaksanakan kursus berkaitan perfileman.
Berikutan itu, katanya, sesi saringan perolehan (pitching) sudah dijalankan dengan menyenarai pendek syarikat dan persatuan yang bertanggungjawab melaksanakan kursus perfileman di Yayasan Sabah.
“Sebelum kursus dilaksanakan, FINAS perlu tahu mengenai kursus apa yang hendak ditawarkan, bagaimana pelaksanaannya dan apakah hasil yang diperoleh.
“Jadi, FINAS mahu kursus dilaksanakan berguna dan bermanfaat dalam tempoh yang berpanjangan.
“Sebolehnya, FINAS mahu mengelakkan pembaziran dengan melakukan sesuatu tanpa perancangan yang betul,” katanya menerusi laporan BH Online pada lawatan ke Yayasan Sabah di Menara Tun Mustapha, Kompleks Yayasan Sabah, Teluk Likas, Kota Kinabalu.
FINAS turut akan melantik ahli akademik dan penggiat industri perfileman berpengalaman demi membangunkan satu modul sebagai panduan bagi melahirkan lebih ramai pelapis generasi baharu bidang perfileman.
Kerjasama ini bermula apabila Yayasan Sabah menawarkan diri berikutan perancangan FINAS bagi menubuhkan Akademi Filem FINAS di Sabah.
Oleh demikian, perbincangan dengan Yayasan Sabah lebih fokus kepada kursus jangka pendek dan praktikal agar ilmu yang dicurahkan bermanfaat untuk masa depan industri perfileman.
Yayasan Sabah dilihat merupakan peluang yang menguntungkan kepada FINAS dalam menjalinkan perkongsian aset yang tidak perlu lagi membina bangunan, prasarana, pentadbiran dan sebagainya.
SUMBER: UNIT BERITA MANIS FM