TURIN – Juventus dilaporkan sedang menyediakan bidaan kedua untuk penyerang Liverpool Roberto Firmino selepas tawaran pertama mereka ditolak kelab berkenaan.
Ditandatangani pada musim panas tahun 2015, sebulan sebelum Jurgen Klopp dilantik sebagai pengurus The Reds, penyerang Brazil itu menjadi tonggak dalam kebangkitan Liverpool.
Firmino membantu Liverpool memenang Liga Juara-Juara Eropah 2019 sebelum menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris setahun kemudian.
Kini dia memasuki setahun terakhir kontraknya di Merseyside, dan pemain 30 tahun itu semakin tercicir dengan ketibaan Diogo Jota, Luis Diaz serta Darwin Nunez.
Gandingan Firmino bersama Sadio Mane – yang kini menyertai Bayern Munich – dan Mohamed Salah di barisan depan Liverpool ternyata cukup berbisa sejak beberapa tahun lalu.
Salah baru saja menandatangani kontrak baharu di Anfield dan sekiranya Firmino memilih untuk keluar, Klopp terpaksa mencari penggantinya.
Media Itali melaporkan Juventus membuat tawaran rasmi untuk penyerang itu tetapi ditolak Liverpool.
Pengendali Juve Massimiliano Allegri sedang mencari penyerang baharu untuk digandingkan dengan Dusan Vlahovic selepas Alvaro Morata kembali ke Atletico Madrid.
Liverpool akan menamatkan latihan pra-musim minggu ini menentang RB Salzburg di Austria, sebelum kembali ke United Kingdom berdepan Manchester City di Wembley dalam aksi Perisai Komuniti.
Kempen Liga Perdana Inggeris mereka bermula seminggu kemudian, apabila Liverpool bertandang ke Craven Cottage bertemu Fulham yang kembali ke liga tertinggi Inggeris itu.
Sumber: BERITA HARIAN