BIRMINGHAM – Penantian kontinjen negara untuk meraih kilauan pingat akhirnya terlerai pada hari ketiga Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila acara angkat berat dan berbasikal masing-masing menghadiahkan dua pingat emas dan sebutir gangsa pada Sabtu.
Selepas kemarau pingat sejak temasya sukan itu dibuka secara rasmi pada Khamis lepas, skuad angkat berat melakar pencapaian sensasi di Pusat Pameran Nasional (NEC) apabila menyumbangkan dua emas.
Mohamad Aniq Kasdan menyumbangkan pingat emas pertama Malaysia di temasya sukan kali ini apabila mengungguli kategori 55 kilogram (kg) lelaki dengan angkatan bebanan keseluruhan 249kg.
Kira-kira dua jam kemudian, giliran Muhamad Aznil Bidin pula memastikan lagu Negaraku berkumandang buat kali kedua di pusat pameran itu apabila melakukan angkatan bebanan keseluruhan 285kg dalam kategori 61kg bagi mempertahankan gelaran dimenangi pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.
Lebih membanggakan, kedua-dua badang negara itu mencipta rekod baharu temasya sukan berkenaan.
Pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terus menceriakan kontinjen negara apabila menyumbangkan gangsa dalam acara keirin lelaki di Lee Valley VeloPark, London malam ini.
Kem angkat berat berpeluang menambah koleksi pingat pada hari keempat temasya esok apabila Muhammad Erry Hidayat, dijadual turun beraksi dalam kategori 73kg.
Sebelum ini, Erry, yang juga anak kepada bekas jaguh angkat berat negara, Hidayat Hamidon, menempah slot automatik ke Birmingham selepas meraih perak di Kejohanan Angkat Berat Kelayakan Sukan Komanwel 2022 di Tashkent, Uzbekistan pada 2021.
Tumpuan juga terarah kepada skuad ping pong wanita yang mencipta kejutan menyingkirkan juara bertahan, India, 3-2, di peringkat suku akhir sekali gus menempah pertemuan menentang Wales di separuh akhir, esok.
Sumber: BERNAMA