KUANTAN – Kerajaan Pahang melancarkan Sistem Pengkalan Data Perladangan (e-Ladang) yang merupakan sebuah pengkalan data berpusat yang mengumpulkan maklumat syarikat, ladang, pekerja dan hasil pengeluaran sektor perladangan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin berkata, sistem e-Ladang ini telah dibangunkan hasil kerjasama antara Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pahang (BPEN), Bahagian Teknologi Maklumat dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dengan menggunakan kepakaran dalaman (in-house).
“Antara objektif pembangunan sistem e-Ladang adalah diharapkan agar dapat membantu kerajaan negeri untuk merangka dan merancang dasar sektor perladangan selain dapat membantu menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan.
“Di samping itu, sistem ini memberi kemudahan capaian maklumat perladangan mengikut jenis tanaman serta memudahkan urusan pemantauan dan penyediaan laporan dapat dibuat dengan cepat dan sistematik,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Simposium Industri Sawit Negeri Pahang 2022 “Komoditi Sawit : Cabaran Dan Masa Depan” yang diadakan di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang, di Kuantan.
Hadir sama ialah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Naib Canselor Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP), Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin.
Pada majlis sama turut diadakan Pelancaran Pahang Plantations and Comodities Festival & Symposium (PPCFestS22) dan Perasmian Simposium Industri Sawit Negeri Pahang 2022.
YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar berkata, penganjuran PPCFestS22 ini merangkumi tiga program utama iaitu Pertandingan Penulisan Artikel Bertemakan Industri Perladangan & Komoditi, Simposium Industri Sawit Negeri Pahang 2022 Komoditi Sawit : Cabaran dan Masa Depan dan Pameran Inovasi dan Teknologi Komoditi Negeri Pahang 2022 Pahang Commodities Exhibition of Innovation & Technology 2022 (PaCEIT’22).
Ketiga-tiga program ini mempunyai misi sama dengan pelancaran program Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia 2022 (MIACES) di MITEC Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Julai 2022 lalu.
Beliau berharap simposium ini akan dapat menerapkan nilai dan pendekatan yang positif terhadap sektor perladangan dan komoditi di negeri ini dalam usaha menjadikan Malaysia khususnya Pahang sebagai hab komoditi utama dunia.
Sumber : PAHANG MEDIA