PUTRAJAYA– Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memasang 29,487 unit lampu di kawasan luar bandar Semenanjung Malaysia di bawah Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) 2019/2020.
Ketua Setiausaha KPLB Datuk Ramlan Harun berkata ia merangkumi 22,520 unit lampu jenis ‘High Pressure Sodium Vapour’ (HPSV) dan 6,967 unit lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED), melibatkan peruntukan sebanyak RM32.10 juta.
Ramlan berkata projek LJK tersebut dimulakan pada 27 Dis 2019 dan telah siap sepenuhnya pada 17 Nov 2021 dengan lokasi pemasangan adalah di persimpangan jalan kampung, kawasan perkuburan dan kawasan surau serta rumah ibadat.
“Pelaksanaan program LJK adalah untuk menceriakan kawasan liputan supaya kegiatan ekonomi, sosial dan riadah dapat dijalankan pada waktu malam dengan selesa dan selamat.
“Semua LJK yang telah siap dipasang akan diserahkan kepada TNB di Semenanjung Malaysia untuk dioperasi dan diselenggara secara berterusan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) 2019/2020 di Semenanjung Malaysia di sini hari ini.
Ramlan berkata di bawah program sama, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) turut memberi komitmen dengan pemasangan tambahan sebanyak 25,000 unit LJK jenis LED yang melibatkan peruntukan berasingan.
Beliau berkata KPLB ketika ini turut melaksanakan inisiatif kajian rintis pemasangan LJK jenis solar LED bagi kawasan perkampungan yang tidak mempunyai kemudahan tiang elektrik.
Bagi tujuan itu, katanya LJK jenis solar LED telah dipasang di Hulu Perak dan Lawas (Sarawak) serta dalam pemasangan di perkampungan Orang Asli di Perak, Johor, Perak dan Kelantan dan ia dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya.
“Biarpun pemasangan LJK jenis solar LED membabitkan kos yang tinggi antaranya logistik, namun sebagai langkah jangka panjang, ia berpotensi untuk menyelesaikan masalah ketiadaan tiang elektrik di kawasan pedalaman,” katanya.
Komponen LJK merupakan satu komponen di bawah prasarana luar bandar kementerian, selain Jalan Luar Bandar, Jalan Perhubungan Desa, Bekalan Air Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar dan Projek Ameniti Sosial.
Pada program sama, turut diadakan taklimat mengenai penggunaan ‘Geographic Information System’ (GIS) yang diguna pakai TNB dalam proses pemetaan dan analisis data geospatial dalam satu sistem yang diselaraskan.
— BERNAMA