Ujian Saringan Terperinci Dibuat, Elak Cacar Monyet Menular ke Sini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan melakukan ujian saringan secara terperinci terhadap mana-mana pengembara yang disyaki mempunyai simpton penyakit cacar monyet susulan peningkatan kes itu di negara jiran, Thailand.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata pihaknya juga akan memantapkan lagi kesiapsiagaan di pintu sempadan negara bagi memastikan tiada penularan kes itu ke negara ini.

Selain itu, katanya, JKNK turut mengarahkan semua kakitangan termasuk daripada klinik swasta dan kerajaan untuk melaporkan segera jika ada kes cacar monyet di kawasan mereka bagi membolehkan pencegahan awal dilakukan.

“Pemantauan awal tetap dilakukan walaupun kes cacar monyet belum dikesan sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Tambahan pula, setakat ini kes yang dilaporkan di negara jiran bukan berlaku di wilayah yang bersempadan dengan negara, sebaliknya membabitkan kawasan di utara Thailand dan Bangkok,” katanya selepas merasmikan Program Semarak Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia di perkarangan Wisma Persekutuan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penerangan Negeri Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor.

Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Thailand mengeluarkan amaran cacar monyet peringkat kebangsaan selepas mesyuarat tergempar agensi kesihatan dan menteri kesihatan awam pada 28 Julai lalu.

Setakat ini, lima kes cacar monyet disahkan di Thailand dengan kes terbaru membabitkan seorang wanita berusia 25 tahun.

Sementara itu, Dr Zaini turut berkongsi laporan penurunan kes Influenza (ILI) di Kelantan selepas berlaku limpahan kes sejak dua bulan lalu.

“Tiada lagi masalah kekurangan katil di hospital, selain kes membabitkan ILI dapat diuruskan dengan baik oleh kakitangan bertugas.

“Pada masa sama, saya juga menasihatkan orang ramai supaya terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) sepanjang fasa peralihan endemik COVID-19 ini,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN