Tuchel Didenda, Gantung Satu Perlawanan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Thomas Tuchel digantung satu perlawanan dan didenda 35,000 pound (RM185,304) susulan kad merah pengendali Chelsea itu, kata Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) semalam.

Tuchel dan pengendali Tottenham, Antonio Conte hampir bergaduh selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge Ahad lalu.

Penggantungan Tuchel tertangguh sementara bagi menunggu laporan penuh insiden berkenaan, membolehkannya terus bersama pasukan pada aksi menentang Leeds esok.

Conte didenda 15,000 pound (RM79,415) selepas kedua-dua pengendali itu mengakui salah laku mereka bertegang urat ketika keputusan 2-2 di laman Chelsea itu.

Situasi antara Tuchel dan Conte mula tegang selepas pengendali Spurs itu meraikan jaringan penyamaan Pierre-Emile Hojbjerg berhampiran kawasan teknikal Chelsea.

Kemudian Harry Kane menanduk masuk gol penyamaan kedua Tottenham dalam masa kecederaan, dan Tuchel sekali lagi hampir bergaduh dengan Conte apabila pengendali Chelsea itu enggan melepaskan tangannya ketika bersalam.

Kedua-dua pengendali itu terpaksa dileraikan oleh pemain-pemain dan pegawai, dan masing-masing dilayangkan kad merah oleh pengadil Anthony Taylor.

Sumber : BERITA HARIAN