Rooney Gesa Gugur Ronaldo

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Bekas penyerang Manchester United, Wayne Rooney menggesa Erik ten Hag untuk tidak menurunkan Cristiano Ronaldo pada pertemuan dengan Liverpool esok.

Penjaring terbanyak United itu berkata, Ten Hag perlu memenuhkan tenaga di atas padang dengan mengeluarkan bekas rakan sepasukannya yang berusia 36 tahun itu.

“Saya tidak akan menurunkan Cristiano Ronaldo, dan saya tidak akan menurunkan Marcus Rashford.

“Jika saya berada di posisi Ten Hag, kebimbangan utama saya ialah mendapatkan tenaga di atas padang, dan kegagalan United mendapatk pemain nombor sembilan menyaksikan mereka terpaksa bergantung kepada Ronaldo ketika menentang Brentford, walaupun dia tidak cukup berlatih bersama mereka.

“Dia kelihatan seperti memerlukan masa untuk mendapatkan kecergasan perlawanan. Ten Hag perlu tenaga daripada pasukannya dan Ronaldo perlu digugurkan,” kata Rooney.

Rooney menganggap kekalahan 4-0 di tangan Brentford minggu lalu sesuatu yang sukar untuk ditonton. United kelihatan terlalu lemah dalam kualiti asas.

“Bola sepak sentiasa berkembang secara taktikal dan teknikal ketika zaman saya bermain dulu, tetapi asasnya tidak pernah berubah.

“Jika anda tidak berlari, tidak berusaha, anda boleh tewas kepada mana-mana pasukan. Saya tidak pernah lihat Manchester United begitu kekurangan dalam kualiti asas.

“Jika ia berlaku kepada United zaman saya, saya rasa peminat, wartawan dan semua pasukan di negara ini akan terkejut, tetapi orang tidak terkejut dengan pasukan ini.

“Apa yang paling merisaukan ialah keputusan dan persembahan mereka tidak mengejutkan saya,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN