PJKM di Terengganu Catat Jualan RM10.11 Juta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Terengganu yang dilaksanakan pada 4 Dis 2021 hingga 12 Ogos lepas merekodkan nilai jualan sebanyak RM10.11 juta.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata nilai jualan tersebut diperoleh daripada 117 sesi PJKM di seluruh negeri dengan jumlah keseluruhan pengunjung 184,560 orang.

“Ini menunjukkan sambutan yang diberikan terhadap inisiatif kerajaan untuk meringankan beban rakyat terutama golongan B40 amat menggalakkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di sebuah pasar raya di Wakaf Mempelam dekat sini hari ini.

Saharuddin berkata Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di Terengganu telah bermula pada Khamis lepas dan dilaksanakan di semua lapan kawasan Parlimen melibatkan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pada minggu ini kita laksanakan di 18 DUN dan minggu hadapan pula sebanyak 14 DUN akan dilaksanakan. Ia berterusan sehingga Disember ini. Jadi kita harap pengguna dapat merancang pembelian dan membuat pilihan bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Katanya, di samping itu, KPDNHEP Terengganu turut mengalu-alukan lebih banyak pihak industri tampil menjadi rakan strategik dan bersama-sama menjayakan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di lokasi-lokasi lain yang akan ditentukan kelak.

Sumber : BERNAMA