Kelantan FC Tercicir Mata Selepas Diikat TFC II

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Hasrat Kelantan FC mendahului saingan Liga Perdana dengan kelebihan tiga mata tidak kesampaian apabila diikat Terengganu FC II (TFC II) 2-2 dalam saingan di Stadium Sultan Muhammad ke IV, di sini, petang tadi.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah dilihat bermula garang apabila berjaya membolosi penjaga gol pelawat, Mohamad Shafawi Mohamad menerusi jaringan pembukaan Norshamil Abd Ghani minit kelima.

Tujuh minit selepas itu, tuan rumah menambah kelebihan gol apabila Shafawi sekali lagi ditewaskan pada minit ke-12. Dan kali ini Dzulfahmi Abdul Hadi mengambil giliran untuk menghampakan TFC II.

Begitupun, kealpaan tuan rumah dihukum apabila TFC II menjaringkan gol pertama pada minit ke-33 menerusi Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali. Enam minit selepas itu, dia menjaringkan gol kedua dan penyamaan skuad Penyu bagi menjadikan kedudukan 2-2 sebelum rehat.

Pada minit ke 43, pelawat nyaris menambah jaringan namun ditepis Nik Mohd Amin Ahmad. Sepakan Amirul Syazwan Nor Azmi selepas itu pula tersasar melepasi tiang gol Kelantan.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan cuba membolosi gawang lawan, namun buntu sehingga wisel penamat bagi keputusan muktamad 2-2.

Sumber : BERITA HARIAN