Mati Sebagai Motivasi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Kredit : AMAA Muslim Cemetery

Membayangkan sahaja kematian, ia membawa rasa takut yang menggigit tulang dengan bayangan pukulan-pukulan malaikat dengan suara yang lantang. Gelap di dalamnya berpanjangan, haiwan apakah yang bakal menemani kita dan paling utama bagaimanakah amal kita di dunia ini akan dihisab? Sebagai muslim, kita sentiasa diingatkan bahawa kita akan dihidupkan kembali ke alam akhirat. Alam kubur atau alam akhirat adalah persinggahan sementara yang menentukan. Kata hukama, perjalanan kematian kita bermula dengan kelahiran kita di bumi ini. Ini bermakna, persiapan perlu dilakukan bagi memperindah kematian kita.

Namun begitu, sejauh manakah takut kita kepada kematian?  Adakah takut-takut ini benar-benar takut yang bersifat kehambaan?  Adakah benar kematian itu memberi kita rasa ketakutan yang mendalam? Kerana di saat ini kita masih sahaja mengejar sesuatu yang melekakan.  

Orang yang mempersiapkan kematian adalah orang yang cerdik

Saban hari kita mendengar berita kematian yang mengejut bahkan kematian orang-orang sekeliling baik ahli keluarga kita, sahabat, rakan sekerja, atau boleh jadi selebriti yang baru sebentar tadi kita tonton di kaca televisyen.

Kematian boleh jadi satu kejutan, boleh jadi satu benetuk pemergian yang telah dipersiapkan. Ia bergantung bagaimana kita “merancangnya” pada hari ini. Disebabkan itulah dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW, orang yang mempersiapkan dirinya adalah orang yang cerdik.

Nabi SAW bersabda: “Secerdik-cerdik manusia ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan paling bersungguh-sungguh bersiap sedia. Mereka ialah orang yang benar-benar cerdik, mereka pergi (ke alam baqa) dengan membawa kemuliaan dan kemuliaan akhirat.” (Riwayat Ibnu Majah)

Orang yang merancang kematian hidupnya, tahu bahawa baki usia di dunia adalah singkat dan pendek. Maka mereka tahu bahawa sesingkat usia itulah, mereka perlu mempersiapkan amalan kebaikan. Mereka menyusun waktu sebaiknya untuk bersedekah, menolong jiran, melakukan aktiviti kebajikan mengikut kudrat dan masa mereka. Waktu yang berbaki tidak disia-siakan meskipun sesaat!

Saidina Abu Bakar berkata, “Sesiapa masuk kubur tanpa bekalan, maka seperti mengharungi laut tanpa perahu!  Dalam konteks ketakutan terhadap azab kubur, semakin kita takut dengan azab Allah, semakin kita perlu mendekati Allah. Cinta Allah terlalu besar buat mereka yang mengingatinya.

Jadikan kematian Sebagai motivasi

Setelah kita mati, tiada satupun harta yang kita bawa pulang di sisi. Kita akan meninggalkan segalanya. Seorang suami yang mati akan meninggalkan isteri solehah yang disyanginya, anak-anak comel yang jadi penghibur hati,  kawannya yang sentiasa ada tatkakala susah dan senang, kereta kebanggaan yang sering dibawanya ke tempat kerja. Justeru, mengumpul harta di dunia, sebenarnya tidak akan membawa apa-apa erti.

Ini tidak bermakna kita tidak perlu meninggalkan dunia keseluruhannya. Dunia juga penting untuk dimanfaatkan dimana dunia dijadikan alat, untuk mencari akhirat. Melalui alat dunia, kita akan mengumpul bekal yang akan dibawa pulang. Bekal amal dan kebaikan akan menjadi pendukung kita saat berhadapan dengan Allah SWT.

Bagaimana kematian menjadi motivasi? Mati adalah pengakhiran kehidupan. Tatkala mati terputus segala amal, harapan, cita-cita dan keinginan. Sementara masih hidup, kita masih lagi berpeluang untuk bermaaf-maafan dengan orang sekeliling kita, kita masih berpeluang lagi untuk tidak menyia-nyiakan masa dengan hal yang tidak bermanfaat, kita masih lagi ada ruang untuk meminggirkan kemaksiatan, kita masih lagi boleh menjadikan hari ini hari yang lebih baik dari semalam. Waktu-waktu yang berbaki adalah peluang untuk kita  lakukan segala apa yang kita perlukan sebelum berakhir dengan penyesalan.

Mengingati Mati Meningkatkan Produktiviti

Naval Ravickant dalam bukunya The almanack menulis bahawa kematian menjadi motivasi baginya. Bagaimana seorang yang tidak mempercayai tuhan boleh berkata begitu? Kerana dia percaya bahawa hidup di dunia ini tidak begitu lama. Lakukan sahaja apa yang kita mahu buat. Kita tidak perlu takut untuk melakukan kesalahan atau memulakan langkah kerana kesalahan kita hari ini tidak akan dibawa ke tamadun hadapan. Naval mendatangkan contoh bahawa manusia di zaman kini tidak tahu langsung apa yang berlaku di Tamadun Inca yang wujud pada abad ke-15 dahulu. Ya, tidak dinafikan saki baki Tamadun Inca masih wujud di Machu Pichu yang boleh kita lihat sehingga hari ini,  namun apa yang orang-orang tamadun dahulu lakukan, tidak kita ketahui di zaman ini.

Setiap bernyawa akan mati. Kita akan dipadam dari dunia. Bezanya apakah kebaikan yang kita lakukan untuk kita meninggalkan manfaat ketika menninggalkan dunia ini? Semangat Naval Ravickant, boleh kita abadikan untuk melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya sebagai seorang Muslim. Jadikan dunia ini sebagai ladang pahala yang subur selagi kita masih hidup.