DUNGUN – Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dengan kerjasama agensi-agensi keusahawanan di bawah Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) menganjurkan Klinik Keusahawanan Peringkat Daerah Dungun secara percuma.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Wan Hapandi Wan Nik berkata, klinik keusahawanan ini bakal membuka peluang kepada usahawan-usahawan untuk mendapatkan pendedahan, khidmat nasihat serta mengetahui serba sedikit rahsia kejayaan dalam perniagaan.
“Program ini bertindak sebagai peneraju kepada agenda keusahawanan di kalangan agensi-agensi keusahawanan para usahawan dan bakal usahawan untuk bertukar-tukar fikiran dalam memantapkan rangkaian perniagaan,” katanya.
Tambahnya lagi, program ini juga merupakan kesinambungan daripada program-program yang dianjurkan secara bersama antara agensi-agensi keusahawanan sebagaimana yang dilaksanakan tahun sebelumnya sebelum negara dilanda wabak Covid-19.
“Jadi, saya melihat supaya program-program keusahawanan ini dapat dinikmati oleh semua bukan sahaja di Kuala Terengganu malahan usahwan – usahawan dari besut sehingga Kemaman akan dapat manfaat daripada program ini” katanya ketika merasmikan Klinik Usahawan bersama Agensi Keusahawanan (Daerah Dungun) di Dewan Utama, Majlis Perbandaran Dungun, hari ini.
Sebanyak 16 agensi terlibat di dalam program ini antaranya TEKUN, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), AGRO BANK, Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan banyak lagi.
Turut hadir pada majlis perasmian, Pengurus Pembangunan Usahawan Bahagian Pembangunan Usahawan, YM Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad.
Sumber : UNIT BERITA MANIS FM