KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan penantian gelaran sulung Malaysia di pentas Kejohanan Badminton Dunia pada edisi ke-27 yang berlangsung di Tokyo, Jepun sebentar tadi.
Aaron-Wooi Yik muncul juara selepas menewaskan lawan yang pernah mereka temui ketika perlawanan penentuan pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 dalam tempoh 40 minit.
Kemenangan ini juga adalah keempat buat Aaron-Wooi Yik dalam 11 pertembungan dengan gandingan Indonesia diberikan julukan ‘The Daddies’ yang sebelum ini pernah meraih gelaran pada 2015 dan 2019.
Lebih manis kemenangan di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu secara tidak langsung memberikan hadiah paling bermakna buat negara yang bakal menyambut Hari Kemerdekaan ke-65, pada Rabu ini.
Sebelum ini pencapaian terbaik Malaysia adalah meraih perak masing-masing menerusi acara perseorangan lelaki dan beregu lelaki.
Sumber : BERITA HARIAN