Kembara RIUH Keluarga Malaysia Ketengahkan Industri Kreatif Tempatan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pandemik Covid-19 telah memberi impak negatif kepada 92% penggiat seni dan budaya dan lebih 70% kehilangan punca pendapatan. Inisiatif berbentuk ‘intervention’ dapat membantu merapatkan jurang semenjak pandemik.

K-KOMM menerusi MyCreative Ventures meneruskan siri program Kembara RIUH Keluarga Malaysia di seluruh Negara bagi mempromosi dan mengetengahkan industri kreatif hasil kerja artis-artis tempatan.

Kembara RIUH Keluarga Malaysia, inisiatif yang menghubungkan komuniti kreatif dengan orang ramai, memperkukuh Ekonomi Jingga di Malaysia melalui pelbagai tawarannya dan komited untuk mencipta peluang bagi pemain industri kreatif.

Kembara RIUH Keluarga Malaysia bertujuan menghimpunkan para usahawan kreatif dan penggiat seni tempatan daripada 10 cabang industri kreatif merangkumi muzik, seni persembahan, kandungan kreatif, sastera, senireka, seni kebudayaan dan tradisional, seni kulinari, seni visual, fesyen dan pendidikan kreatif.

Ini dijangka akan mewujudkan sekurang-kurangnya 7,000 peluang pekerjaan di 14 lokasi di serata tanah air dan menyokong lebih 5,000 perniagaan tempatan.

Berikutan pembukaan sektor kreatif, tumpuan Kumpulan MyCreative dipertingkat untuk memacu ekonomi jingga Malaysia melalui inisiatif pembangunan ekosistem yang disusun secara strategik, bantuan pembiayaan, pelaburan inovatif, dan akhirnya meningkatkan sumbangan ekonomi daripada sektor kreatif.

Di bawah RMK12, Industri Kreatif disasarkan menyumbang RM31.9B kepada KDNK menjelang tahun 2025, dan selaras dengan itu MyCreative diwujudkan bertujuan memperhebat industri kreatif Malaysia melalui penghasilan peluang pekerjaan, meningkatkan sumbangan industri kreatif kepada KDNK menjelang 2025 dan secara langsung melonjakkan status industri kreatif Malaysia melalui kesedaran awam dan kesan sosial.

Sejak penubuhannya pada tahun 2012 sehingga kini, Kumpulan MyCreative telah memberikan bantuan kewangan berbentuk pinjaman dan geran sebanyak RM447.7 Juta yang memanfaatkan seramai 949 penggiat dan usahawan industri kreatif. Selain dari itu, sebanyak RM10.93 juta telah disalurkan bagi tujuan pembangunan industri kreatif yang telah membantu lebih dari 900 penggiat dan usahawan dari pelbagai segmen industri kreatif.

Lokasi seterusnya selepas Ayer Hitam, Johor, Kota Kinabalu Sabah dan Melaka adalah Negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan pada 16-18 September 2022 yang turut akan meraikan Hari Malaysia dengan bakal mempamerkan pelbagai warisan tradisi, dari persembahan Makyung ke seni kreatif dari segi kecantikan, perhiasan dan pemakanan.