Jurulatih Baharu Skuad B-23 Enggan Janji `Bulan Bintang’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih baharu skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, E Elavarasan enggan menjanjikan ‘bulan dan bintang’ untuk skuad itu layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Sebaliknya, pengendali berusia 60 tahun itu menjelaskan barisan kejurulatihan yang baharu akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik ke arah itu.

“Buat masa ini ranking Malaysia di rantau Asia berada di kedudukan ke-26 dan hanya ada tiga slot automatik diberikan untuk ke temasya Sukan Olimpik 2024 nanti. Namun, kita akan tetap berusaha memberikan yang terbaik dalam usaha ke arah itu.

“Secara keseluruhan, jika kita berjaya mendapatkan barisan pemain terbaik dengan komitmen penuh diberikan oleh pasukan yang bertanding, mungkin segala sasaran yang diletakkan tidak mustahil boleh dicapai,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Elavarasan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Brad Maloney, Julai lalu dengan dia diumumkan secara rasmi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini dan akan mengemudi skuad negara menghadapi beberapa kejohanan utama, tahun depan.

Antaranya Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja pada Mei 2023, Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada September 2023 serta kelayakan Piala Asia B-23 2024 yang juga kelayakan Olimpik 2024.

Sementara itu, Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell optimis Elavarasan tidak akan terbeban dengan tugasan meskipun masih kekal sebagai penolong kepada ketua jurulatih skuad senior Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

“Salah satu faktor kenapa kita memilih Elavarasan sebagai pengendali skuad B-23 adalah untuk memastikan kesinambungan serta falsafah bola sepak antara skuad senior selari dengan apa yang cuba diterapkan.

“Saya pasti dia tiada masalah untuk memikul kedua-dua tugas kerana apa yang kami lakukan ketika ini sudah dilakukan oleh banyak negara lain sebelum ini,” katanya.

“Saya pasti dia tiada masalah untuk memikul kedua-dua tugas kerana apa yang kami lakukan ketika ini sudah dilakukan oleh banyak negara lain sebelum ini,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN