Apakah beza antara Tadabbur dan Tafsir?
Tadabbur berasal dari perkataan دبر. Seacara ringkas tadabbur ini merupakan satu pemerhatian, penglihatan kepada sesuatu. Kita memerhati kepada sesebalik suatu perkara dan kita berfikir apakah yang berada di sebalik ayat Allah.
Dalam kata mudah, ia adalah refleksi tentang ayat Al-Quran dengan menyingkap mesej yang hendak disampaikan Allah melalui Al-Quran. Dengan mentadabbur, kita akan fahami mesej Al-Quran sekaligus ia membawa kita kepada tazkiyatun nafs iaitu penyucian jiwa sehingga kita merdeka dari sifat-sifat yang dimurkai Allah.
Tafsir berasal dari perkataan فسر dan ia bermaksud penerangan dan pencerahan. Tafsir fokusnya untuk menentukan makna Al-Quran dengan tepat. Orang yang hendak mentafsir Al-Quran perlulah orang yang ada kepakaran dalam banyak bidang seperti bahasa arab, bidang Nahu dan Sorof, bidang fiqh, bidang akidah dan sebagainya. Justeru, mentafsir Al-Quran ini sememangnya layak hanya kepada ulama-ulama yang pakar dan berkelayakan.
Tadabbur dan Tafsir merupakan perkara yang penting dalam kita memahami ayat Al-Quran. Dengan tadabbur kita memahami mesej ayat Al-Quran dan mengambil iktibar daripada Al-Quran, manakala dengan tafsir kita memahami dengan tepat makna Al-Quran itu sendiri.
Sebarapa pentingkah tadabbur dalam kehidupan kita?
Allah SWT menyeru seluruh umat manusia untuk mentadabbur ayat-ayat al-Qur’an menerusi firman-Nya:
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
Maksudnya: (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? Surah Muhammad (24)
Tadabbur merupakan satu usaha yang dikatakan dalam agama, dan merupakan satu kerugian jika kita tidak bertadabbur kerana dengan tadabburlah kita dapat memahami dan menjiwai ayat Al-Quran. Bagaimanakah kita ingin memahami Al-quran jika kita tidak mengetahui init-inti dan perjalanan dalam surah Al-Quran itu sendiri?
Apabila kita bertadabbur, kita perlu memahami sekurang-kurangnya konteks ayat, asbabun nuzul (sebab-sebab penurunan surah), perkaitan antara surah-surah sebelum dan selepasnya, sirah Nabi-nabi dan banyak lagi.
Apabila semua ini difahami, maka secara perlahan-lahan ia akan melengkapkan proses tadabbur kita. Proses tadabbur ini akan membuatkan kita muhasabah diri dalam perjalanan hidup kita sendiri, kemudian dengan tadabbur inilah akan membuatkan kita ingin menjadi hamba yang lebih baik.
Peranan sebagai orang awam
Kita perlu tahu sebagai orang awam, kita tidak layak untuk menafsirkan Al-Quran mengikut kehendak sendiri. Kita perlu merujuk kepada karya-karya Ulama’ yang muktabar. Antara tafsir-tafsir yang boleh kita rujuk di luar sana adalah seperti tafsir Al-Quran al adzim karya Ibn Kathir, Tafsir Al-Qurtubi, Tafsir jalalain dan banyak lagi.
Sebagai orang awam juga, kita perlu ketahui bahawa membaca terjemahan Al-Quran tidak lagi melengkapi makna tadabbur yang sebenarnya. Kita boleh mentadabbur Al-Quran dengan merujuk tafsir-tafsir yang muktabar dan diakui. Namun, jika kita masih lagi tiada keupayaan, maka kita perlu merujuk Ustaz-ustaz yang berautoriti agar kita tidak tersalah faham fakta dan sebagainya.
Ada kalanya, timbul ketakutan adakah kita layak mentadabbur kerana kita tidak sehebat Ulama dalam aspek keilmuannya. Sebenarnya, tadabbur tidak memerlukan seseorang itu memenuhi syarat-syarat tertentu kecuali kefahaman secara umum tentang satu-satu ayat.
Sebagai kesimpulan, tidak dapat tidak yang paling penting adalah kita perlu melazimkan membaca Al-Quran sebelum mula tadabbur dan membaca tafsir. Kerana bagaimana kita hendak mentadabbur jika kita tidak melazami ayat Al-Quran terlebih dahulu?
Rujukan:
- https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3322-al-kafi-1226-perbezaan-antara-tafsir-dan-tadabbur-al-qur-an
- Video Tadabbur Centre – Perbezaan Tafsir dan Tadabbur