1,055 Kes Penderaan Kanak-Kanak Dalam Enam Bulan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR MAS – Sebanyak 1,055 kes penderaan kanak-kanak direkodkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara bermula Januari sehingga Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata sebanyak 578 kes membabitkan penderaan fizikal, 417 kes penderaan seksual dan 60 kes adalah penderaan emosi.

Katanya, daripada jumlah berkenaan 706 kes adalah membabitkan kanak-kanak perempuan dan 349 kes kanak-kanak lelaki.

“Mengikut statistik pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,348 kes kesalahan seksual kanak-kanak direkodkan dalam tempoh yang sama, termasuk kes rogol berkumpulan, sumbang mahram, seks luar tabii dan cabul.

“Selain itu, eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak dilihat semakin meningkat terutamanya kesalahan pornografi yang membabitkan perkongsian dan capaian kepada bahan pornografi golongan berkenaan.

“Trend ini menunjukkan perkembangan yang tidak sihat memandangkan pendedahan kepada bahan pornografi kanak-kanak mendorong kepada ketagihan seks dan akhirnya boleh membawa kepada perlakuan seksual,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Siti Zailah berkata terdapat peningkatan sebanyak 65 peratus kanak-kanak berumur 5 tahun hingga 17 tahun yang menggunakan internet berbanding pada 2018.

“Kadar penggunaan internet juga telah meningkat pada tahun 2020 berbanding 2018 iaitu sebanyak 42 peratus yang mana internet digunakan melebihi sembilan jam sehari pada tahun ini.

“Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) juga telah menjalankan Tinjauan Pendapat Bulan Keluarga Kebangsaan Tahun 2020 dan mendapati bahawa tahap kesedaran kawalan ibu bapa terhadap penggunaan internet anak menurun daripada 62.5 peratus pada tahun 2018 kepada 53.3 peratus pada tahun 2020.

“Ini menunjukkan kesibukan ibu bapa dalam menguruskan ekonomi keluarga menyebabkan mereka tidak dapatmengawal penggunaan internet dalam kalangan anak,” katanya.

Beliau berkata, aplikasi tidak bermoral turut dijadikan sebagai akses untuk mengajak kanak-kanak terlibat alam komunikasi berunsur lucah.

Tambahnya, Jawatankuasa Khas ini dibentuk untuk sama-sama merancang dan mengambil tindakan yang

sewajarnya bagi memastikan hasrat Kementerian dapat direalisasikan demi masa depan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Sumber : BERITA HARIAN