Islam merupakan agama yang mementingkan alam sekitar. Masjid merupakan tempat tumpuan yang mana bukan sahaja ia merupakan tempat ibadah, namun ia juga ruang untuk bersosial, membincangkan masalah dan banyak lagi.
Dengan krisis iklim yang semakin meruncing, kepentingan untuk membina masjid yang menapati ciri alam sekitar menjadi semakin sangat penting kerana masjid merupakan ruang ibadat yang membawa imej agama. Terdapat beberapa masjid di seluruh dunia yang telah dibina dengan ciri yang mesra alam sekitar dan boleh dijadikan inspirasi atau panduan.
1) Masjid Istiqlal, Jakarta Pusat, Indonesia
Masjid Istiqlal terletak di Jakarta Pusat dan merupakan masjid terbesar di Asia Tenggara. Dengan keluasan seluas satu hektar, ia mempunyai lima tingkat dengan sokongan 12 tiang utama, serta di atasnya terdapat seni bina kubah yang berdiameter 45 meter. Masjid ini mampu menampung sehingga 120 000 jemaah dalam satu masa. Masjid ini sebenarnya telah dibina sejak 1961 namun telah diubah suai agar selari dengan ciri fungsi yang mesra persekitaran.
Dari sudut penggunaan air, masjid ini telah mengubahsuai pili yang digunakan untuk berwudu’ dengan merendahkan kedudukan paip air dan berjaya mengurangkan penggunaan air daripada 16 liter per minit kepada 5 liter per minit. Selain itu, masjid ini turut merawat semula air yang telah digunakan seperti air wudu’, air yang digunakan di tandas dengan sistem yang dipasang di masjid. Dengan ini, penggunaan air dapat dijimatkan sebanyak 30%.
Bagi menjimatkan penggunaan eletrik, antara aspek mesra alam sekitar yang diwujudkan di Masjid Istiqlal ini adalah pengunaan panel solar, meter tenaga pintar 13 peratus penggunaan elektriknya, Masjid Istiqlal dijangka menyaksikan penjimatan tenaga sebanyak 23 peratus.
Selain itu, masjid ini mengambil pendekatan berlainan dengan mengunakan cat pantulan di dinding masjid. Yang mana ia boleh memantulkan cahaya bahkan pada waktu malam sekaligus dapat menjimaat penggunaan eletrik terutama pada waktu malam.
Sesunguhnya masjid ini benar-benar merdeka sesuai dengan namanya istiqlal. Merdeka dengan membebaskan seisi masjid dari pencemaran-pencemaran dan berusaha menjadi masjid yang melawan perubahan iklim!
2) Masjid Bait Ur Rouf, Dhaka, Bangladesh
Bukan sahaja damai, tetapi sekali pandang sahaja, begitu sejuk mata memandang! Siapa sangka masjid bersaiz kotak dan bercorak minimalis ini boleh wujud di Bangladesh? Bahkan yang lebih unik, ia hanya dibina dengan batu bata terracotta yang mana kosnya lebih murah bahkan bertepatan dengan iklim negara tersebut.
Menariknya masjid ini tidak menggunakan sebarang penggunaan lampu dan eletrik Ia hanya menggunakan cahaya dan udara segar semulajadi bagi mengalir masuk ke dalam ruang masjid.
Masjid Bait Ur Rouf ini telah direka oleh arkitek perempuan iaitu Marina Tabassum. Beliau telah menerima Anugerah Aga Khan 2016 sempena pembinaan masjid ini. Antara masjid-masjid yang menjadi rujukan dan inspirasi beliau seperti Masjid Agung Cordoba abad ke-8 di Sepanyol, Hagia Sophia abad ke-6 di Istanbul, serta rumah Nabi Muhammad SAW. Beliau juga turut memasukkan elemen seni bina masjid Benggali semasa zaman Kesultanan pada abad ke-14 hingga ke-16 bagi memaparkan identiti Bangladesh disamping sambil turut menggabungkan elemen reka bentuk tersebut dengan elemen kontemporari yang kreatif.
Dengan binaan bata terracotta secara tradisional, masjid tersebut dapat ‘bernafas’ melalui dinding bata berliang. Bahkan pada bulan-bulan musim panas ruang solat, itu tetap sejuk dan tidak memerlukan penghawa dingin. Selain itu, dengan susunan batu bata secara berjarak, cahaya matahari juga dapat menembus masuk.
Masjid ini sememangnya layak dapat pengiktirafan kerana ia memang unik! Syabas buat Bangladesh!
3) Masjid Universiti Cambridge, United Kingdom
Apabila kita melangkah masuk ke dalam Kawasan masjid, kita sendiri keliru adakah kita masuk taman bunga estetika atau sebuah masjid? Begitulah perumpamaannya untuk menggambarkan cantik, indahnya serta elemen ketenangan yang wujud sewaktu memasuki masjid ini. Tapi yang lebih penting ia lestari.
Masjid yang terletak di United Kingdom ini merupakan masjid yang dibina bagi university Cambridge. Universiti Cambridge biasanya dikenali dengan universitinya yang hebat dan melahirkan ramai graduan yang hebat. Siapa sangka reka bentuk masjid juga hebat!
Reka bentuk yang dibina menggabungkan elemen kayu. Antara ciri lestari yang terdapat di masjid ini ialah mereka akan mengitarsemula air tadahan hujan, menggunakan bumbung hijau iaitu bumbung bangunan yang dilitupi tumbuh-tumbuhan secara sebahagian atau sepenuhnya yang bagus bagi biodiversity disamping penggunaan sistem solar dan pam haba bagi menjana tenaga yang digunakan dalam masjid ini.
Bahkan masjid ini juga mesra kanak-kanak dimana ia dilengkapi dengan ciri kedap bunyi agar suara kanak-kanak tidak menganggu Jemaah yang mengimarahkan masjid ini! Masjid ikonik yang dibina di tempat ikonik ini dibuka untuk Muslim dan orang awam. Bagaimana menarik kan masjid ini? Jika anda ke Cambridge, pastikan tempat ini tempat yang wajib disinggahi!
4) Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya, Malaysia
Mengambil sempena nama seorang tokoh pejuang, masjid yang dapat memuatkan sebanyak 8000 jemaah ini telah berjaya mendapat pengiktirafan platinum kerana menepati Piawaian Bangunan Hijau (GBI) yang pertama di dunia pada 2016.
Masjid ini mempunyai takungan air bawah tanah bagi mengumpul lebihan air wuduk, yang disalurkan digunakan untuk mengepam tandas. Bagi memastikan penjimatan air, takungan bawah tanah bagi penuaian air hujan dan pengumpulan air wuduk dibina untuk tujuan siraman pokok di sekeliling masjid yang mana bukan sahaja ia sebagai penghias landskap masjid, tetapi ia juga berperanan menyejukkan Kawasan sekitar masjid. Air hujan juga digunakan untuk mengambil wudu’ dan tandas.
Bumbung atap masjid ini dipenuhi dengan 800 panel solar yang mana ia boleh menghasilkan tenaga eletrik sehingga 41 hektar. Halaman masjid yang luas di tengah-tengah ruang masjid memainkan peranan bagi menghasikan ventilasi semulajadi dan pencahayaan yang baik.
Kubah masjid di ruang solat juga memainkan peranan yang besar dan ia merupakan yang pertama dipasang di masjid di Malaysia setakat ini. Ia Kubah kaca ini yang dipasang menggunakan dua panel kaca pancaran rendang (LE) yang diimpit ukiran seramik berfungsi sebagai penghalang terus matahari. Bahkan kubah ini juga membantu menarik udara panas dan mengeluarkannya melalui alat pengudaraan di lapisan luar kubah.
Hebatnya, dari air sehingga ke kubah, semua memenuhi ciri lestari dan masjid ini terletak di Malaysia tau! Jadi tidak hairanlah jika Masjid Raja Haji Fi Sabilillah ini masjid pertama di dunia mendapat pengiktirafan platinum kerana menepati Piawaian Bangunan Hijau (GBI).
Kesimpulan
Masjid sememangnya wajar ke hadapan dalam mengamalkan aspek-aspek kelestarian. Dengan senarai masjid-masjid ini, kita dapat belajar bahawa sebenarnya sesuatu pembinaan seperti bangunan, masjid, sekolah sebenarnya boleh dan mampu mengamalkan ciri-ciri kelestarian ini asalkan ada kesungguhan! Semoga selepas ini, semakin banyak masjid yang dibina dengan ciri-ciri lestari ini.
Rujukan:
- The UK’s First Green Mosque: “The Cambridge Mosque”-
- Mosques in Indonesia go green
- https://www.dezeen.com/2017/03/05/bait-ur-rouf-mosque-dhaka-bangladesh-marina-tabassum-brick-aga-khan-award/
- Youtube- Cambridge Eco Mosque: Eco-friendly mosque opens in Europe
- Youtube – Masjid Raja Haji Fi Sabilillah the Green Mosque
- Masjid Cyberjaya, masjid hijau pertama tercalon anugerah antarabangsa