Bagaimana Penerimaan Masyarakat Antarabangsa Tentang Islam Selepas 21 Tahun Peristiwa 9/11?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Serangan pada 11 September 2001 menggemparkan Pentagon apabila sebuah pesawat yang dipercayai pesawat Al-Qaeda menghentam ‘kota pertahanan’ utama AS itu selain sebuah lagi pesawat terhempas di Pennsylvania pada tahun 2001. Tarikh 11 September 2022 ini merupakan tahun ke-21 berlakunya serangan ini.

Meskipun 2 dekad telah berlalu, peristiwa 9/11 atau 11 September ini sememangnya satu peristiwa yang cukup signifikan bagi umat Islam. Ia menimbulkan banyak persoalan, ketegangan, kerungsingan oleh semua pihak yang mana ia menunjukkan berlakunya pertembungan antara tamadun barat dan Islam.

Bagaimanakah peristiwa ini memberi kesan terhadap Umat Islam? 

Kesan peristiwa 9/11 memberi impak yang sangat besar iaitu ia memberi konotasi negatif terhadap umat Islam di Barat. Antaranya ialah Islampofobia iaitu wujudnya rasa takut apabila berhadapan dengan masyarakat Islam dengan ketakutan yang sangat teruk dan negatif. Umat Islam di barat ditarik tudung, dilempar barang dan sebagainya kerana kebencian yang melampau oleh masyarakat barat.

Setelah 21 tahun adakah kesan ini masih dirasai terhadap Umat Islam? Ternyata ya. Umat Islam masih lagi dianggap negatif. Pemeriksaan di lapangan terbang, kastam, urusan bank masih lagi berhati-hati dan mempunyai tanggapan buruk terhadap nama yang berpangkal Muslim. Sehingga ke hari ini, isu sebegini masih lagi terjadi dan belum pulih.

Namun begitu, dari satu sudut ia juga memberi satu kelebihan untuk Islam itu sendiri. Islam menjadi tumpuan bahkan dijadikan kajian-kajian bagi menginterogasi mengapa kejadian-kejadian keganasan ini dilakukan. Nama Islam terpampang di dada-dada akhbar, isu sensasi media yang mana sebelum ini media bertindak bisu terhadap isu umat Islam.

Banyak pusat-pusat kajian yang dibuka di Eropah bahkan di Malaysia juga bagi membincangkan mengenai hal ini. Peristiwa ini sebenarnya turut membuka satu sisi lain iaitu Umat Islam juga ditindas di bahagian pelusuk dunia yang lain iaitu seperti di Kashmir, Palestin, Uyghur dan sebagainya lalu mengheret pengkajian ini ke arah mengenal Islam secara lebih dekat.

Ia sekaligus membuka ruang untuk Muslim bersuara bahawa mereka turut ditindas lantas menjadi isu global yang ditikberatkan! Erti kata lain ia dapat memperbetulkan imej Islam yang sebenar dan memperkenalkan Islam secara global! Kesan ini seterusnya membawa kepada penemuan masyarakat Barat terhadap Islam, Quran dan risalah dakwah habis dijual, masjid juga diserbu untuk mencari kebenaran tentang Islam dan mula masuk Islam secara beramai-ramai.

Kenapa media barat terlalu ‘bias’ terhadap agama Islam?

Tidak dapat dinafikan bahawa apabila berlakunya sesuatu peristiwa sebegini, ia memberi peluang kepada mereka yang sudah lama memerhati, mengambil peluang untuk menjatuhkan Islam. Lalu menyatakan tindakan ekstremism ini ialah agama Islam yang sebenar.

Ekstremism terhadap agama ini juga wujud dalam agama lain meskipun ia juga bertentangan dengan agama mereka sendiri. Raja England, King Charles pernah memberi ucapan di Oxford Centre dalam tahun 1993, mengatakan bahawa “Barat adalah satu bangsa yang suka menindas orang lain”- Western civilization has become increasingly acquisitive and exploitative. Ini bermakana, Raja Charles sendiri mengakui bahawa bangsanya bangsa penjajah.

Menurut Dr Ahmad El Muhamamdy, Penganalisa Penganalisa Anti-Keganasan, Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC-IIUM), Barat memang bangsa yang mengeksploitasi seperti yang berlaku di Asia Barat atau di tempat yang dijajah British. Isu sempadan seperti Isu Kurdish, Isu Palestin pula tidak digembar-gemburkan dan menjadi perhatian media mereka kerana mereka memang ingin memanjang-manjangkan isu terrorism Islam ini.

Berperanan melawan terrorisme

Seperti yang dikatakan sebelum ini, persepsi barat terhadap Islam belum pulih meskipun Islam semakin dikenali. Isu ini sebenarnya menyebabkan umat Islam perlu lebih bekerja keras dan memberi fokus setidaknya terhadap dua perkara. Pertama, membersihkan Islam dari terrorisme. Kedua, memberi pendedahan kepada yang bukan Islam, serta orang Islam sendiri akan ajaran sebenar umat Islam.

Antara perkara mudah yang boleh dilakukan bagi membetulkan kefahaman mengenai Islam adalah dengan bersahabat dengan Non-Muslim, mendedahkan mereka dengan ajaran sebenar Islam agar persepsi mereka terhadap Islam itu jenih. Dengan inisiatif berinteraksi secara berterusan, lama kelamaan ia boleh membetulkan persepsi mereka.

Rujukan:

Wawancara temubual Sinergi Xpres – 21 Tahun Pasca Peristiwa 9/11: Masyarakat antarabangsa lebih terbuka tentang Islam