108 Projek Dan Program Rancakkan Pembangunan Setiu Menjelang 2035

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SETIU – Sebanyak 108 projek dan program dalam tiga (3) fasa perancangan, dimana 12 darinya merupakan projek berimpak tinggi telah didrafkan yang bakal merancakkan pembangunan di daerah Setiu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata pihaknya menyambut baik inisiatif Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PlanMalaysia) dalam melaksanakan rancangan itu berpandukan potensi daerah itu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu (GPMT).

Katanya, bagi membolehkan rancangan pembangunan di Setiu lebih mampan menjelang 2035, draf itu kini dipamerkan dari 11 September sehingga 11 Oktober ini bagi mendapat pandangan penduduk setempat.

“Tujuan utama Program Publisiti dan Penyertaan Awam diadakan adalah untuk memberi pemahaman dan peluang kepada semua pihak terutamanya penduduk daerah Setiu bagi menyemak, meneliti dan memberi maklumbalas ke atas kandungan laporan Draf Rancangan Tempatan Daerah Setiu 2035 (penggantian) yang telah disediakan sebelum ianya diwartakan.

“Respon orang awam sebenarnya agak positif contohnya seperti yang kita buat di Besut sebelum ini, dan diharapkan di Setiu juga ramai yang akan kehadapan untuk kemukakan cadangan membina,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Publisiti Dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Setiu 2035 (Penggantian) di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, hari ini.

“Bagi memastikan semua projek yang dirancang dapat dilaksanakan dan memenuhi kehendak rakyat, ianya memerlukan kolaborasi antara agensi negeri, persekutuan dan PBT mahupun orang awam.

“Rakyat kini lebih terbuka, peranan kita (kerajaan) adalah untuk memberi penjelasan kepada mereka, dan mereka (rakyat) akan terima sekiranya alasan tersebut munasabah, dan di pihak rakyat juga kita mengharapkan adanya tolak ansur kerana apa yang kita buat adalah untuk kepentingan awam,” ujarnya.

Sumber : UNIT BERITA MANIS FM