Lebih RM19.8 Juta Bantuan Diberikan Kepada Pesawah Terjejas Akibat Pelbagai Bencana

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TANJONG KARANG – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sehingga kini telah menyalurkan lebih RM19.8 juta kepada pesawah yang terjejas akibat pelbagai bencana tahun ini, melalui Tabung Bencana Tanaman Padi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata bantuan itu disediakan kerajaan secara tahunan, bagi membantu mengurangkan kerugian yang dialami pesawah akibat bencana seperti banjir, ribut dan penyakit yang dihadapi tanaman padi.

“Setiap tahun tabung ini mendapat peruntukan sebanyak RM10 juta dan sekiranya diperlukan lebih lagi kita akan memohon kepada Kementerian Kewangan,” katanya kepada media selepas Seminar Peningkatan Hasil Padi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang hari ini.

Katanya bantuan itu diberikan mengikut umur padi iaitu bagi yang berusia bawah 70 hari, sebanyak RM800 akan diberikan bagi satu hektar dan bagi padi berusia 71 hari dan ke atas, bantuan adalah RM1,800 sehektar, dengan maksimum diberikan untuk tiga hektar.

Mengenai musim tengkujuh yang dijangka akan melanda pada hujung tahun ini, beliau berkata pihaknya akan melakukan persediaan awal dari sekarang.

“Sebagai contoh pihak IADA Selangor sentiasa membuat pemantauan termasuk keadaan kaji cuaca dan penyelenggaraan terusan utama, bagi mengelakkan laluan air yang tersangkut,” katanya.

Tambahnya penyelenggaraan juga meliputi pada bahagian sistem pengairan iaitu pam air diselenggara dengan lebih kerap, supaya dapat berfungsi terutamanya ketika banjir.

Terdahulu, ketika berucap Ahmad berkata penjadualan semula bekalan air di IADA Barat Laut Selangor, akan dilaksanakan sepenuhnya bermula awal Januari tahun hadapan.

Jelas beliau, penjadualan semula bekalan itu membabitkan empat Kawasan Perkhidmatan Pengairan (ISA) 1 hingga ISA 4, yang dilakukan berikutan berlaku kekurangan air yang teruk pada 2015.

Katanya tujuan penjadualan semula bekalan air itu adalah kerana berlaku perubahan cuaca dan bentuk muka bumi yang ketara, perbezaan keluasan kawasan pengairan yang tidak seragam, kepelbagaian tanaman selain padi, dan perubahan struktur regulator yang perlu dibuat, demi memastikan tiada berlaku masalah kekurangan air di sawah.

Sumber : BERNAMA