KOTA BHARU – Dianggarkan kurang 10 peratus pekerja domestik di Kelantan yang mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) sejak ia berkuat kuasa pada 1 Jun tahun lalu.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Kelantan Nora Yaacob, berkata cabaran utama yang dihadapi ialah bagi memastikan pendaftaran pekerja domestik yang masih terlalu rendah selain menghadapi kesukaran memastikan sama ada mereka mengetahui akan hak sebagai pekerja domestik ataupun tidak.
Katanya, takrif pekerja domestik adalah mereka yang bekerja semata-mata dalam kerja atau yang berkaitan dengan kerja bagi satu rumah kediaman persendirian dan bukan diambil bekerja bagi apa-apa perdagangan, perniagaan atau profesion yang dijalankan oleh majikan sama ada di dalam atau di luar rumah kediaman itu.
“Antara contoh pekerja domestik ialah pembantu rumah, pemandu peribadi, tukang kebun, tukang masak, pengawal peribadi, pengawal keselamatan, penjaga orang sakit dan pengasuh bayi atau kanak-kanak.
“Majikan dan individu yang menggajikan pekerja domestik dalam kalangan warga tempatan dan asing sepatutnya perlu menyedari kewajipan serta tanggungjawab mereka untuk mencarum pekerja domestik ini yang mana mereka juga seharusnya mendapat manfaat sama seperti pekerja sektor formal yang lain,” katanya ketika ditemui di Pejabat PERKESO Negeri Kelantan.
Media sebelum ini melaporkan, semua pekerja domestik yang bekerja dengan individu tanpa membabitkan aktiviti perdagangan, perniagaan atau profesion di negara ini diwajibkan mempunyai perlindungan keselamatan sosial PERKESO berkuatkuasa 1 Jun 2021.
Kadar caruman yang perlu dibayar oleh majikan dan pekerja domestik pula bergantung kepada gaji bulanan seseorang pekerja berkenaan.
Justeru, Nora menggesa, mana-mana majikan yang menggaji pekerja domestik supaya tampil ke Pejabat Perkeso berdekatan untuk membuat pendaftaran dan caruman kepada pekerja mereka.
“Bagi memberi kesedaran kepada majikan yang menggaji pekerja domestik, pihak kami akan turun padang untuk melaksanakan libat urus dengan persatuan penduduk selain menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri, Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kelantan.
“Pada masa sama, pihak kami juga akan membuat promosi yang berterusan di media sosial serta mengadakan ceramah bulanan di pejabat PERKESO Negeri Kelantan untuk memberi kesedaran mengenai kepentingannya,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas boleh dikenakan terhadap majikan yang gagal berdaftar dan mencarum dengan pihak PERKESO.
“Pekerja domestik yang diupah juga perlu tahu mereka mempunyai hak untuk dicarumkan oleh majikan kepada PERKESO serta mendapat manfaat atau faedah disediakan.
“Mereka juga adalah golongan yang berisiko dan terdedah kepada kemalangan, keilatan dan kematian serta penyakit pekerjaan ,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN