Pasor Percuma Ganu Kite! Bantu Golongan Kurang Berkemampuan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG – Berbekalkan hasrat ingin membantu masyarakat dalam menghadapi kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup, sekumpulan sukarelawan mengambil inisiatif mengadakan pasar percuma yang memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan pelbagai barangan tanpa sebarang bayaran.

Pengasas program Pasor Percuma Ganu Kite! Dr Muhammad Salehuddin Sulaiman berkata program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang di Bukit Payong dekat sini, disertai 35 sukalerawan yang menyumbang pelbagai jenis barangan termasuk susu bayi, mainan kanak-kanak, baju dan buku.

Selain itu katanya, program Pasor Percuma Ganu Kite! yang diadakan selama dua jam bermula 10 pagi tadi turut memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan bihun secara percuma.

“Ini merupakan kali ke-23 kita adakan pasar percuma sejak 2017. Konsep yang kita buat adalah ‘daripada rakyat kepada rakyat’…kita membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan.

“Para penyumbang pula terdiri daripada rakan-rakan saya dan mereka juga mengajak kenalan mereka untuk menyertainya. Kami juga menghebahkan program ini dalam media sosial untuk menarik lebih ramai penyumbang,” katanya ketika ditemui pemberita di SK Padang Mengkuang di sini hari ini.

Beliau berkata program itu menerima sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran 1,000 pengunjung termasuk kanak-kanak yang tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan pelbagai barangan yang mereka perlukan.

Seorang penyumbang Ang Meng Siew, 40, berkata selain gembira dapat membantu masyarakat, acara seumpama ini juga memberikan kepuasan buat dirinya apabila pelbagai barangan dari rumahnya yang masih elok seperti mainan anak-anaknya, telah bertukar pemilik.

“Kali pertama saya sertai program ini pada 2020. Apabila kita dapat memberi ia bukan sahaja menggembirakan hati penerima tetapi kita sendiri pun rasa gembira. Saya juga dapat mendidik anak-anak untuk berkongsi rezeki dengan orang lain, barangan antaranya mainan dan kasut mereka yang tidak lagi digunakan kini telah menjadi milik orang lain dan tidak dibuang begitu sahaja,” katanya yang menyumbang kasut, baju dan mainan kanak-kanak.

Dalam pada itu, seorang pengunjung Minah Musa, 71, berkata beliau sangat gembira kerana dapat membawa pulang pelbagai barangan seperti beras dan minyak masak secara percuma yang sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan keluarganya untuk minggu ini.

“Mak cik tahu mengenai program ini melalui anak saudara (eng: niece) yang turut membawa mak cik ke sini. Syukur sangat kerana ada yang prihatin dengan nasib penduduk kampung seperti mak cik.

“Lagipun mak cik ini orang susah tiada pendapatan tetap dan setiap bulan hanya mengharapkan duit belanja daripada anak-anak tetapi mereka pun tidak dapat banyak memberi kerana hanya kerja biasa-biasa sahaja. Jadi apabila ada yang sudi beri sumbangan memang mak cik sangat hargai,” kata ibu kepada 10 orang anak itu.

Sumber : BERNAMA