BANGI – Pengendali Terengganu, Badrul Afzan Razali jelas lega selepas anak buahnya melepasi satu lagi ‘halangan’ dan berjaya mengesahkan tempat ke final acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, petang tadi.
Badrul menyifatkan aksi menentang Selangor itu bukanlah satu perlawanan yang mudah, namun usaha keras dan semangat juang ditunjukkan menyaksikan laluan untuk memburu pingat emas keempat SUKMA terus ‘hidup’.
“Tekanan berterusan terutamanya pada separuh masa pertama membuahkan hasil dengan dua gol tercipta.
“Tahniah buat semua pemain yang mempamerkan semangat juang tinggi dan berdisiplin sehingga tamat masa perlawanan,” katanya.
Terdahulu, Terengganu hanya selangkah untuk merangkul ‘ibu segala pingat’ SUKMA 2022 selepas mara ke final acara bola sepak dengan menundukkan Selangor 2-1 di Stadium UKM.
Pemenang pingat emas SUKMA secara hatrik dalam tiga edisi (2006, 2008, 2010) itu akan berdepan sama ada Pulau Pinang atau Wilayah Persekutuan pada aksi final, Jumaat ini.
Terengganu mendominasi sebahagian besar permainan dan ketika perlawanan belum cukup ‘panas’, Terengganu sudah ‘menghentak’ Selangor seawal minit keenam.
Berpunca daripada sepakan sudut yang gagal dikeluarkan dengan baik oleh barisan pertahanan Selangor, situasi itu dihukum dengan penyudah Muhamad Muslihuddin Atiq Mat Zaid untuk gol pertama Terengganu.
Selangor cuba membalas menerusi beberapa siri serangan namun tidak cukup menggugat benteng Terengganu dan Terengganu terus di depan dengan gol kedua pada minit ke-36 hasil jaringan Muhammad Zahim Raimi Zamani.
Bersambung babak kedua, denyut nadi kebangkitan Selangor menyala selepas Muhamad Azim Muzahhir Saipu Azlan mengurangkan defisit gol pada minit ke-61.
Bagaimanapun, gol penyamaan yang dicari Selangor untuk mengheret aksi ke masa tambahan tidak ‘timbul’ sekali gus terpaksa merelakan Terengganu lolos ke final dengan keputusan 2-1.
Satu lagi slot untuk merebut pingat emas antara Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan akan berlangsung di Stadium UiTM, malam ini.
Stadium Bolasepak Kuala Lumpur akan menjadi venue final acara bola sepak SUKMA sementara penentuan pingat gangsa pula diadakan di Stadium UKM, Jumaat ini.
Sumber : BERITA HARIAN