Batu Kristal Berharga Ditemukan Sekumpulan Penyelidik di Ulu Cheka

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JERANTUT – Empat penyelidik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menemukan batu kristal kuarza tanpa warna bersaiz empat hingga 4.5 sentimeter dengan berat 150 gram di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka di sini.

Bahan mineral berharga itu ditemukan oleh Pensyarah Kanan UMK, Dr. Elvaene James bersama tiga orang penuntut, Shuhada Farhana Roslan, Nur Ain Wahidah Mohammad Razali dan Muhammad Aiman Fikri Mohd. Sena di kawasan hutan tadahan air itu ketika menyertai Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan selama lima hari berakhir hari ini.

Elvaene James berkata, beliau tidak menyangka serta teruja menemukan batu kristal itu dan tidak menolak kemungkinan bahawa kawasan hutan simpan tersebut terdapat banyak batu kristal yang mampu memberi sumber pendapatan sampingan kepada penduduk setempat.

“Saiz batu di hutan ini lebih berbeza dengan batu yang sama ditemukan kawasan Lojing, Kelantan dan andaian saya batu kuarza banyak terdapat di hutan di sini yang menjadi sumber pendapatan penduduk kerana mineral ini berkualiti dan komersial,” katanya di Ulu Cheka di sini hari ini.

Program anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) itu turut disertai seramai 30 penyelidik.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JPNP, Datuk Samsu Anuar Nawi berkata, ekspedisi tersebut berjaya apabila menemukan batu kristal kuarza serta khazanah lain yang menjadi rujukan kepada kerajaan negeri dan penuntut universiti di Pahang pada masa akan datang.

“Penemuan baharu semasa ekspedisi ini merupakan kejayaan bidang penyelidikan universiti tersebut termasuk sebelum ini ramai pengkaji dari luar dan pengunjung telah menemukan tumbuhan Rafflesia dan mineral lain yang berharga,” katanya.

Dalam pada itu, pemandu pelancongan Kampung Ulu Cheka, Shafiq Sharipudin menambah, ekspedisi itu merungkai kekayaan sumber biodiversiti dan potensi menjana sektor ekopelancongan baharu yang terdapat di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan), Ulu Cheka.

“Kajian ini sangat sangat penting dan dalam usaha kerajaan melestarikan khazanah alam sekitar menerusi pemuliharaan untuk tujuan ekopelancongan,” katanya.

Ujarnya, khazanah itu perlu dikawal dan dikhuatiri orang luar akan masuk ke situ untuk mendapatkan batu kristal bagi kepentingan komersial serta pada masa yang sama merosakkan alam sekitar.

Sumber : UTUSAN