Terengganu Sasar Tempat Kedua SUKMA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Impian kontinjen Terengganu untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) di Lembah Klang dengan misi ‘Victory Mission’ boleh dikatakan sudah tertutup selepas kontinjen Johor hampir pasti dinobatkan sebagai juara baharu edisi ke-20 ini.

Namun dengan berbaki sehari sahaja lagi sebelum kejohanan terbesar dalam negara itu menutup tirainya esok, kontinjen Terengganu yang diketuai Datuk Ahmad Faisal Tun Abdul Razak belum mahu mengangkat ‘bendera putih’ bagi perebutan di tempat kedua dengan kontinjen Wilayah Persekutuan.

Malah jika dilihat daripada senarai sasaran pingat emas sehingga hari terakhir esok, kontinjen Terengganu yang membariskan 459 atlet dengan 284 lelaki dan 175 wanita mempunyai peluang cerah untuk muncul naib juara.

Namun faktor prestasi semasa atlet serta saingan hebat yang diperagakan atlet negeri lain juga perlu diambil kira selepas beberapa acara sukan sasaran emas sebelum ini gagal direalisasikan atlet Terengganu Darul Iman itu.

Bagaimanapun Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahya masih percaya dan meletakkan harapan yang tinggi supaya atlet negeri yang bakal beraksi hari ini dan esok mampu menghadiahkan pingat emas bagi memastikan hasrat untuk memburu kedudukan kedua tercapai.

“Setakat semalam, 330 acara sudah selesai dengan berbaki 96 acara lagi untuk hari ini dan esok, kita tidak berupaya mengejar kontinjen Johor pada edisi ini kerana beberapa sukan yang sebelum ini kita memonopoli pingat emas kurang cemerlang seperti berbasikal, kanu, judo dan angkat berat sekali gus gagal menepati sasaran.

“Namun sinar harapan masih cerah buat kontinjen kita untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan SUKMA ini di tempat kedua dengan beberapa acara lagi menjadi sandaran untuk mengutip pingat emas termasuk pelayaran, bola sepak, berbasikal, angkat berat, silat, menembak, tenis dan tinju.

“Justeru sempena hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita berjuang bersungguh-sungguh bagi memastikan kutipan emas tertinggi dapat diraih untuk mengatasi Wilayah Persekutuan dan pada masa sama kontinjen Sabah dan Sarawak tidak membuat kejutan,” kata Ahmad Shahrizal.

Berdasarkan kedudukan pungutan terkini pingat, kontinjen Johor jauh meninggalkan kontinjen negeri lain dengan pungutan 69 emas manakala kedua Wilayah Persekutuan dengan 41 emas dan Terengganu ketiga dengan mengumpul 39 pingat emas.

Pada temasya SUKMA edisi ke-19 di Perak 2018, kontinjen Terengganu muncul juara keseluruhan selepas cemerlang mengutip 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa, namun edisi ke-20 ini yang dihoskan Majlis Sukan Negara (MSN), sasaran 57 emas yang diletakkan di bahu atlet Terengganu boleh dikatakan sudah ‘berkubur’ selepas empat tahun sukan itu ditangguhkan berikutan wabak pandemik Covid-19.

Sumber : BERITA HARIAN