Tuntutan hidup ada kalanya memaksa kita untuk berhutang. Berhutang untuk memenuhi keperluan hidup khususnya dalam perkara-perkara daruriyyat (tersangat penting) hukumnya harus. Ini bermakna berhutanglah apabila berada dalam keadaan yang sangat darurat bukan sekadar ingin bermewah-mewah bagi gaya hidup.
Bagi mereka yang telah berhutang, tentunya dibebani hutang memberi beban yang sangat besar. Kita akan sering menghitung-hitung hari untuk segera menghabiskan bayaran. Hal ini kerana hutang mengikat kita dengan penghutangnya. Bebanan hutang juga menjadikan jiwa seseorang tidak tenang dan tenteram.
Antara doa yang boleh diamalkan bagi keluar dari beban hutang ialah doa seperti berikut:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Allahumma inni audzubika minal hammi wal hazani wa ‘audzubika minal ‘ajzi wal kasali wa audzubika minal jubni wal bukhli wa audzubika min ghalabatid daini wa qahrir rijal.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.” – Riwayat Abu Daud (4/353)
Selain dengan usaha doa, usahakan juga secara bersungguh-sungguh dari aspek lain seperti mengatur kewangan, mengurangkan komitmen dan sebagainya untuk melunaskan hutang. Semoga dengan asbab berusaha untuk keluar dari hutang, Allah mempermudahkan kita untuk keluar dari beban hutang.