Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berada dalam kelompok tiga pemain terbaik dunia pada ketika ini selepas Viktor Axelsen dan Anders Antonsen.
Pemain kelahiran Alor Setar yang berusia 24 tahun ini berada dalam kelompok tersebut selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini rankingnya, pada hari ini.
Zii Jia melompat kedudukan ketiga dalam ranking dunia selepas pemain No.2 dunia, Kento Momota jatuh ke kedudukan kelima pada hari ini. Dengan kejatuhan tersebut, Antonsen, Zii Jia dan Chou Tien Chen berhasil meningkat satu kedudukan masing-masing, pada minggu ini.
Untuk makluman semua, ini merupakan ranking tertinggi pernah digapai oleh Zii Jia sejak berkecimpung dalam sukan badminton.
Sebagai perbandingan, Zii Jia yang menghuni tangga ketiga kini mengumpul 91,578 mata. Manakala Antonsen pula mempunyai 92,700 mata. Kedua-dua pemain ini hanya dibezakan dengan 1122 mata sahaja.
Sumber : Sukanz.com