Messi Bantu Argentina Benam Jamaica

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

HARRISON – Lionel Messi meledak dua kali ketika Argentina menghampiri rekod tanpa kalah Itali dengan kemenangan 3-0 ke atas Jamaica dalam aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia.

Bintang Paris Saint-Germain itu melebarkan jaringan antarabangsanya kepada 90 gol dalam 164 penampilan selepas dimasukkan sebagai pemain gantian di Red Bull Arena.

Jaringan Messi melengkapkan prestasi cemerlang skuad Amerika Selatan itu yang kini mengharungi 35 perlawanan tanpa kalah sejak tahun 2019 – hanya dua di belakang rekod dunia milik Itali yang mengharungi 37 perlawanan tanpa kalah dari tahun 2018 hingga 2022.

Messi, yang turut menyumbangkan dua gol ketika kemenangan aksi persahabatan ke atas Honduras di Miami Jumaat lalu, masuk menggantikan pemain Inter Milan, Lautaro Martinez pada minit ke-56.

Dia menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-86 dan kemudian menyempurnakan sepakan percuma untuk menewaskan penjaga gol, Andre Blake untuk gol keduanya.

Kehadiran Messi di Red Bull Arena menyebabkan pengawal keselamatan terpaksa bekerja keras apabila tiga kali padang diceroboh peminat yang mahu mendekati bintang Argentina itu.

Salah seorang peminat yang tidak berbaju cuba mendapatkan tandatangan Messi di belakangnya sebelum dijatuhkan oleh pengawal keselamatan.

Argentina kendalian Lionel Scaloni kini antara pasukan pilihan di Piala Dunia Qatar yang akan bermula November ini.

Argentina mendahului permainan pada minit ke-13 menerusi Julian Alvarez hasil umpanan Martinez.

Sumber : BERITA HARIAN