Air Mata Iringi Kepulangan Azi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Ejen jualan kosmetik, Rosnazira Mohd Naim, akhirnya kembali ke pangkuan keluarga hari ini, selepas lebih tiga minggu berjauhan sejak diculik dari kediamannya di Kampung Semat Jal, dekat Wakaf Bharu, Tumpat pada 13 September lalu.

Wanita berusia 36 tahun yang lebih mesra dengan panggilan Azi itu tiba di negeri ini awal pagi tadi, dengan keselamatannya dipantau pihak berkuasa.

Azi kemudian diiringi Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, ke rumah mentuanya di Kampung Kelochor, di sini, jam 2.50 petang tadi.

Bagaimanapun Azi yang yang mengenakan pelitup muka dilihat lebih banyak termenung dan sesekali menangis, sebelum ditenangkan ahli keluarga, menggambarkan kejadian yang menimpa itu benar-benar mengganggu emosinya.

Muhammad Zaki ketika ditemui berkata, Azi mungkin mengalami tekanan emosi dan pihaknya sudah menjalankan sesi kaunseling bagi mengurangkan trauma dialami mangsa.

“Kes penculikan ini mendapat liputan meluas dan kita dengan bantuan semua pihak berjaya menyelamatkan mangsa dan membawanya pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan baik.

“Soal keselamatan mangsa selepas ini, keluarga perlu adakan perbincangan mengenai apa langkah seterusnya kerana tidak semestinya bergantung kepada pihak polis semata-mata,” katanya.

Mengulas siasatan kes itu, katanya ia sudah selesai, namun ada banyak yang perlu dipertimbangkan dalam siasatan pihaknya.

“Selagi ada perkara yang menyalahi undang-undang, polis akan siasat,” katanya kepada pemberita.

Dalam kejadian petang 13 September lalu, Azi yang juga ibu kepada seorang anak diculik di hadapan rumahnya di Kampung Semat Jal di Wakaf Bharu, Tumpat oleh sekumpulan lelaki sebelum dibawa ke Thailand menerusi Sungai Golok.

Mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke negara ini pada 29 September lalu hasil kerjasama rapat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand.

Tujuh lelaki tempatan turut ditahan berhubung kes itu di tiga negeri iaitu Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Mengulas tujuh tangkapan sebelum ini, Muhamad Zaki berkata, tiga daripadanya sudah dibebaskan, manakala empat lagi masih ditahan.

“Mereka ditahan untuk dijalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN