Ibu Sedih, Anak Derita Tiga Penyakit

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TANAH MERAH – Ketika usianya baharu mencecah tiga bulan, Muhammad Adha Mikhael Kamaruddin terpaksa melalui pelbagai penderitaan selepas dibebani tiga penyakit iaitu paru-paru kronik, jantung berlubang dan juga injap jantung sempit.

Pada usia yang masih belum mengenal erti kehidupan, Muhammad Adha Mikhael hanya mampu merengek serta menangis setiap kali lapar atau menahan kesakitan.

Ibunya, Noor Diana Shaidon, 35, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu dilahirkan di Hospital Tanah Merah melalui pembedahan, namun terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama enam hari akibat jangkitan kuman di paru-paru.

“Bagaimanapun, selepas sebulan dibenarkan pulang ke rumah, saya memerhatikan keadaan Mikhael tidak seperti biasa apabila nafasnya terlalu laju selain wajahnya juga akan bertukar biru setiap kali menangis tanpa henti.

“Bimbang dengan keadaan itu, saya dan suami, Kamaruddin Hussin, 32, membawa Mikhael mendapatkan rawatan di Hospital Tanah Merah dan melalui ujian saringan spesifik (Echocardiogram atau Echo) yang dilakukan oleh doktor mengesahkan anak kami menghidap penyakit jantung berlubang dan injap jantung sempit.

“Pada ketika itu, hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa luluhnya hati seorang ibu apabila anak yang masih kecil perlu menanggung kesakitan,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Jalan Lubok, di sini, semalam.

Noor Diana berkata, biarpun pelbagai dugaan terpaksa ditempuh, dia dan suami perlu tabah menghadapinya kerana semua itu adalah takdir dan Mikhael adalah kurniaan istimewa daripada Allah SWT kepada mereka untuk dijaga sebaik mungkin.

“Sejak lahir Mikheal tidak boleh menyusu badan dan perlu bergantung sepenuhnya kepada susu formula yang diberikan setiap tiga jam sekali.

“Setiap bulan kami perlu membelanjakan RM1,500 untuk membeli susu formula yang berharga RM150 setin dan hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga hari sahaja,” katanya.

Katanya, disebabkan keadaan Mikhael, dia juga perlu peka terutama pada waktu malam kerana bimbang Mikhael mengalami sesak nafas atau tersedak.

“Adakalanya saya sendiri tidak sanggup melihat penderitaan ditanggung Mikhael dalam usianya yang masih kecil dan belum mengerti apa-apa.

“Setakat ini setiap sebulan sekali Mikhael perlu menghadiri janji temu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk berjumpa dengan pakar paru-paru selain memantau perkembangan tahap kesihatannya.

“Saya dan suami sentiasa berdoa supaya penyakit Mikael sembuh dan sihat semula seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Katanya, dia tidak dapat bekerja memandang Mikhael memerlukan penjagaan yang rapi.

“Bagi menyara keluarga, suami mengambil upah melalukan kerja kampung untuk menampung keperluan kehidupan kami sekeluarga selain perbelanjaan Mikhael dan juga tiga anak yang masih bersekolah berusia di antara enam hingga 16 tahun.

“Pada masa sama, kami juga perlu membayar rumah sewa RM350 sebulan dan perlu berjimat cermat,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN