Bajet 2023: Kerajaan Serius Siap Siaga Pertahanan Negara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Peningkatan peruntukan bagi aspek pertahanan dalam Bajet 2023 menunjukkan keseriusan kerajaan terhadap tahap kesiapsiagaan pertahanan negara walaupun pada ketika negara berhadapan cabaran ekonomi global.

Pakar pertahanan dan keselamatan antarabangsa Prof Dr Adam Leong Kok Wey berkata RM4 bilion yang diperuntukkan untuk pembelian dan penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membolehkan perancangan pembelian aset baharu dan canggih, selain pemantapan aset sedia ada dilaksanakan.

“Bajet pertahanan 2023 yang lebih tinggi berbanding tahun lepas membuktikan kerajaan menitikberatkan pertahanan negara walaupun berdepan cabaran ekonomi global yang tidak menentu.

“Ini menggariskan kepentingan pertahanan negara perlu sentiasa diberi perhatian ekoran risiko strategik terhadap negara tidak pernah pudar,” katanya kepada Bernama.

Bagi penganalisis pertahanan Dr Azmi Hassan pula, peruntukan RM118 juta bagi menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera dan RM42 juta untuk membaik pulih kuarters Polis Diraja Malaysia yang diumumkan dalam Bajet 2023 akan membantu anggota pasukan keselamatan negara menikmati kediaman selesa dan menaikkan moral mereka.

Beliau berkata kebajikan pasukan beruniform tanah air dan para pesara perlu dijaga kerana mereka ini banyak berjasa dan berkorban untuk negara.

Azmi berpendapat aspek kebajikan seperti perumahan yang sempurna untuk anggota beruniform terutama polis dan tentera lebih penting berbanding perolehan aset.

“Ia secara tidak langsung akan meningkatkan motivasi pasukan keselamatan negara dalam menjaga ketenteraman awam dan kedaulatan negara,” katanya.

Dalam Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM18.3 bilion dan RM17.4 bilion untuk terus memperkukuh ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Mengenai pemberian 50 peratus diskaun untuk pengangkutan awam kepada 21,000 pemegang kad veteran ATM dan kad pesara polis, Azmi berkata walaupun tiada insentif secara spesifik kepada veteran ATM dan pesara polis, diskaun pengangkutan oleh Prasarana boleh disifatkan sebagai berita gembira.

“Selain itu, ada juga insentif perumahan terhadap veteran ATM, saya rasa itu perkara yang penting kepada veteran ATM dan pesara polis,” katanya.

Menerusi Bajet 2023, kerajaan akan memberikan 50 peratus diskaun bagi pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana kepada 21,000 pemegang kad veteran ATM dan kad pesara polis di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, penganalisis jenayah Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim menggesa pembinaan 25 pos kawalan sempadan seperti yang diumumkan Jumaat lepas dilaksanakan segera.

Beliau berkata penambahan pos kawalan baharu terutama di perairan Sabah dan Sarawak amat mustahak berikutan kedudukan kedua-dua negeri itu yang hampir dengan Filipina dan Indonesia.

“Desakan untuk pos kawalan baharu di sana telah lama disuarakan oleh agensi-agensi keselamatan tetapi akibat kekangan kewangan ia tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Tengku Zafrul dalam pembentangan Bajet 2023 menyatakan kerajaan akan menambah 25 pos kawalan sempadan Pasukan Gerakan Am, Imigresen, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, antaranya di Serikin, Sarawak dan Lahad Datu di Sabah.

Sumber : BERNAMA