Harga Sayur Naik Lebih 10 Peratus Susulan Bekalan Kurang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Bekalan kurang menyebabkan harga beberapa jenis sayur-sayuran di Kelantan meningkat lebih 10 peratus, di antara RM1 hingga RM2 sekilogram.

Antara harga sayur yang meningkat termasuk kacang panjang daripada RM8 sekilogram kepada RM10 sekilogram, sawi daripada RM5 kepada RM6 sekilogram dan kubis bulat (RM4 kepada RM5 sekilogram).

Peniaga sayur, Siti Nur Nadira Farhana Sahidi, 26, yang berniaga di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong berkata, harga sayur naik sejak seminggu lalu.

Katanya, faktor kenaikan harga kerana bekalan yang diperoleh kurang disebabkan hujan, namun permintaan ke atas sayur-sayuran ini sangat tinggi kerana pada masa ini musim kenduri kahwin dan juga sempena Maulidur Rasul.

“Macam kacang panjang, stok sangat kurang menyebabkan harga naik. Stok kacang panjang ini diperoleh daripada pembekal di Kuala Lumpur yang menghantar kepada pemborong di sini.

“Begitu juga harga sayur-sayuran lain juga meningkat. Sebagai penjual kami juga terpaksa menaikkan harga dengan mengambil untung antara RM1 hingga RM2 sahaja bagi sekilogram,” katanya yang berniaga sejak lebih lima tahun lalu.

Peniaga sayur, Arifin Ahmad, 39, yang berpengalaman berniaga sayur selama 15 tahun berkata, kenaikan harga sayur ini sering terjadi apabila musim hujan.

Katanya, hujan kerap menyebabkan sayur di ladang tidak menjadi dan bekalan juga banyak yang rosak. Ia sekali gus menyebabkan bekalan kurang dan harga sayur terpaksa dinaikkan untuk menampung kos operasi.

“Begitu juga dengan penjual yang turut menaikkan harga kerana harga modal yang dibeli daripada pemborong juga meningkat. Misalnya, lada besar merah sebelum ini harga modal RM15 sekilogram dan kini naik kepada RM18 sekilogram.

“Kami membeli dengan harga borong dan menjual secara runcit. Kami juga mengambil untung yang kecil kerana tidak mahu pengguna rasa terbeban.

“Walaupun harga naik, saya masih tetap berniaga seperti biasa kerana ini adalah mata pencarian utama saya untuk menyara isteri dan tiga anak,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN