Rokok Bernilai Hampir RM2 Juta, Cecair Vape Seludup RM1.3 Juta Dirampas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Polis menahan tujuh lelaki berusia 16 hingga 54 tahun dalam beberapa siri serbuan di Tumpat dan Pasir Mas pada 8 dan 9 Oktober lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan itu membawa kepada rampasan cecair rokok elektronik (vape) bernilai lebih RM1.3 juta manakala rokok seludup membabitkan nilai keseluruhan hampir RM2 juta.

“Menerusi beberapa serbuan di Pasir Mas, Tumpat bermula 8 hingga 9 Oktober lepas yang dilaksanakan oleh pegawai anggota Strike Force dari Kompeni A Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan dan Kompeni D Batalion 8 PGA Kelantan menemui 10, 521 botol cecair vape pelbagai jenama dan 2,622 botol pelbagai jenama,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, kesemua rampasan bernilai RM 1,304,260, sementara kes disiasat di bawah seksyen 13 (3) Akta Racun 1952.

Dalam dua serbuan di Pasir Mas pada 8 dan 9 Oktober lepas pula, polis merampas lebih 1 juta batang rokok putih seludup melibatkan nilai hampir RM2 juta ringgit.

Menurut Muhamad Zaki, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, pada 9 Oktober lepas, anggota Ccawangan Risik Batalion 7 PGA telah berjaya merampas 640 kampit beras di Kampung Bechah Tok Kar, Tanah Merah

Beras yang disyaki diseludup dari negara Thailand melalui jalan yang tidak diwartakan itu bernilai RM128,000.

Muhamad Zaki berkata kesemua rampasan bernilai RM548,000 berserta treler yang membawa beras berkenaan.

Kes disiasat mengikut Sekyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.

Sumber : AWANI