TFC Turut Terus Nyalakan Peluang ke Piala AFC

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Terengganu FC (FC) terus menghidupkan peluang untuk meraih tiket ke Piala AFC musim depan selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Skuad Penyu bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga minit ke-39 untuk membuka tirai jaringan selepas sepakan sudut Petrus Shitembi disudahkan dengan rembatan deras Manuel Ott.

Skuad kendalian Nafuzi Zain menuju ke bilik persalinan dengan lebih selesa apabila Tchetche Kipre menanduk masuk bola hantaran Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim pada masa kecederaan babak pertama.

KL City yang juga finalis Piala AFC musim ini merapatkan kedudukan menerusi jaringan Romel Morales yang menyudahkan hantaran Akram Mahinan pada minit ke-63, namun gol itu belum cukup untuk menyekat kemenangan TFC.

Skuad Penyu yang berada di kedudukan ketiga dan berkongsi 41 mata dengan Negeri Sembilan bagaimanapun berdepan tugas getir apabila akan berdepan Kedah Darul Aman di Stadium Darul Aman dalam aksi terakhir liga, Sabtu ini.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), PJ City meraih kemenangan kelima mereka musim ini apabila mengatasi pasukan tercorot, Penang 2-0.

Jaringan PJ City disumbangkan Filemon Anyie dan Mahali Jasuli pada minit ke-18 dan 87.

Sumber : BERITA HARIAN