KOTA BHARU: Seorang pesara guru menggunakan kebolehan melukis dan hasil jualan daripada lukisannya untuk disumbangkan sepenuhnya bagi membantu golongan memerlukan di negeri ini sejak tiga tahun lalu.
Bekas guru kimia dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad Maher, Datin Rosilah Said, 61, berkata setiap wang hasil daripada penjualan karyanya itu akan disalurkan kepada individu perseorangan, badan kebajikan mahupun pusat tahfiz yang memerlukan.
“Kebanyakan lukisan dihasilkan berkonsepkan bunga-bungaan dan saya menterjemahkan apa yang diperhatikan ke dalam bentuk lukisan.
“Setakat ini saya sudah menghasilkan lebih 100 lukisan berkonsepkan bunga-bungaan dan dalam tempoh tiga tahun, sekurang-kurangnya 10 lukisan sudah dijual.
“Dalam menghasilkan sebuah lukisan ia memerlukan kesabaran, ketelitian serta idea segar kerana setiap yang dilakar atau diwarna berperanan penting bagi memperlihatkan hasil karya menarik,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu.
Ibu kepada lima cahaya mata berusia di antara 26 hingga 37 tahun ini berkata, minat dan idea untuk mempelajari lukisan tercetus apabila dia melawat Muzium Lourve di Perancis pada tahun 2012 dan kagum melihat hasil seni yang dipamerkan di muzium berkenaan.
“Beberapa tahun selepas itu, saya mencari guru lukisan yang boleh mengajar mengenai teknik lukisan yang betul dan Alhamdulillah, saya berjumpa dengan Nawi Awang Lah, 65, atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Nawi di Kampung Kraftangan, Kota Bharu.
“Saya bukan orang yang pandai melukis mahupun mewarna, malah ketika masuk belajar kelas lukisan dengan Cikgu Nasir, saya tidak ada apa-apa pengetahuan. Apabila belajar langkah demi langkah, baharulah pandai.
“Saya mengambil masa setahun untuk benar-benar mahir dalam lukisan dan kini saya berani mengambil tempahan melukis daripada kenalan rapat sekali gus dapat mengetengahkan bakat yang dimiliki,” katanya.
Katanya, sokongan kuat keluarga terutama suami, Datuk Wan Abdul Ghafar Wan Ahmad, 62, membolehkan dirinya meneroka lebih jauh minat dan bakat seni yang dimiliki.
“Ketika menjadi guru, saya agak sibuk dengan kerja dan memikirkan hal pelajar tetapi rutin berubah selepas bersara pada tahun 2012 dan saya seronok dengan apa yang dilakukan sekarang.
“Seni lukisan ini boleh dibuat oleh semua orang, yang penting adalah minat mendalam terhadap lukisan serta tahu apa tujuan kita hendak melukis. Apabila kita fokus dan melukis bersungguh-sungguh, pasti lukisan itu akan menjadi,” katanya.
Sumber: BERITA HARIAN