BARCELONA – Gerard Pique mengharungi perlawanan terakhirnya di Camp Nou ketika kemenangan 2-0 Barcelona ke atas Almeria dan berkata dia akan kembali.
Bek tengah berusia 35 tahun itu, yang memenangi 30 trofi bersama kelab, termasuk tiga gelaran Liga Juara-Juara Eropah dan lapan La Liga, akan bersara daripada bola sepak selepas kunjungan ke Osasuna Selasa ini.
Pique, yang mendapat sambutan peminat sepanjang permainan selepas 14 tahun bersama skuad utama Barcelona, diraikan selepas perlawanan dan dijulang oleh rakan sepasukan.
“Terima kasih kepada rakan sepasukan, kakitangan serta semua yang membantu saya.
“Juga kepada lembaga pengarah, untuk tahun-tahun yang indah. Apabila semakin berusia, kadang-kadang menyayangi adalah dengan melepaskannya.
“Selepas hubungan penuh cinta dan kasih sayang, saya rasa sekarang saat untuk memberikan ruang. Saya pasti pada masa depan saya akan kembali ke sini.
“Ia bukan selamat tinggal. Saya pergi selepas 17 tahun untuk mendapat nafas baharu. Datuk saya menjadikan saya ahli kelab. Saya lahir di sini dan saya akan mati di sini,” kata Pique.
Pique, yang memenangi Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 bersama Sepanyol, tidak dapat menahan air mata ketika berucap kepada lebih 92,000 peminat di Camp Nou.
Sumber : BERITA HARIAN