Kampung Tersang Digenangi Air Sejak Jumaat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR MAS – Kawasan Kampung Tersang di Rantau Panjang di sini digenangi air dipercayai akibat limpahan Sungai Lanchang yang berlaku sejak Jumaat.

Seorang penduduk Kampung Tersang Mohd Hirwan Rajiuon, 41, berkata setakat tengah hari tadi, kawasan rumahnya masih digenangi air mencecah 0.4 meter.

“Air mula naik pada Jumaat, pada hari tersebut tidak berlaku sebarang hujan lebat. Namun apabila bangun pagi sekitar 6.30 pagi saya menyedari kawasan sekitar rumah serta tingkat bawah rumah sudah dimasuki air.

“Setakat tengah hari tadi, keadaan masih tidak berubah. Ini dipercayai berlaku kerana aliran air Sungai Lanchang bertembung dengan air Sungai Golok, paras air Sungai Golok yang juga agak tinggi ketika ini menyebabkan berlaku limpahan ke kawasan kampung ini,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.

Mohd Hirwan yang juga pemilik kedai haiwan peliharaan itu berkata limpahan berkenaan menyebabkan beberapa barangan jualan yang diletakkan di tingkat bawah rumah seperti sangkar burung dan dedak jagung rosak.

Bagi Ramlah Mohamad, 63, beliau tidak menjangkakan kejadian tersebut kerana hujan tidak lebat.

“Syukur juga air tidak begitu tinggi, namun begitu kerana kawasan halaman rumah digenangi air, ahli keluarga mengambil inisiatif membina titi kerana sukar untuk meredah air apabila hendak melakukan sebarang urusan harian di pekan Rantau Panjang,” katanya yang tinggal di rumah tersebut bersama 10 anggota keluarga.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Pasir Mas Kapt (PA) Mohd Arif Mohd Zain berkata pihaknya masih memantau kawasan terbabit susulan paras Sungai Golok menunjukkan trend menaik.

“Setakat 8 pagi tadi, paras air Sungai Golok ialah 7.9 meter, 0.9 meter di atas paras berjaga-jaga,” katanya.

Sumber : BERNAMA